APAKAH PERMINTAAN UNTUK MENDAPATKAN HARGA AIR YANG BERPATUTAN SUATU YANG MELAMPAU? Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, air menjadi punca terlalu banyak perselisihan faham antara Malaysia dan Singapura. Ini tidak sepatutnya berlaku. Retorik, tuduhan dan gambaran salah yang kerap dikemukakan sudah memutarbelitkan isu ini. Pokoknya, bolehkah sesiapa saja di dunia pada hari ini, menyatakan dengan jujur bahawa 3 sen Malaysia atau 1.4 sen Singapura atau satu per lapan dolar Amerika, adalah harga yang berpatutan untuk membeli 1,000 gelen air. Malaysia memahami kebimbangan Singapura. Tetapi apakah permintaan untuk mendapatkan harga berpatutan bagi air yang datangnya dari Malaysia, sesuatu yang melampau? Walaupun Singapura meraih keuntungan sebanyak RM662.5 juta daripada air mentah Malaysia pada tahun 2001saja. Singapura hanya membayar Johor sebanyak RM2.39 juta atau S$1.09 juta atau AS$628,947 pada tahun 2001 untuk bekalan air selama setahun. Ini bermakna setiap rakyat Singapura hanya perlu membayar 26 sen Singapura (AS0.15 sen) setahun untuk air yang dibekalkan oleh Negeri Johor. Dengan kata lain, setiap rakyat Singapura menikmati air sebanyak mana yang mereka inginkan dari Malaysia untuk sepanjang tahun dengan harga yang tidak pun cukup untuk membeli sebungkus nasi lemak. Sebaliknya, Johor membayar kepada Singapura sebanyak RM6.3 juta untuk air yang sudah dirawat yang digunakannya dalam tahun 2001. Tujuan dokumen ini adalah untuk menjelaskan hakikat yang sebenarnya. Kami berharap ini akan memberikan pemahaman yang lebih jelas antara kedua-dua pihak, sama ada di seberang tambak atau di mana saja Singapura menyuarakan sungutan mereka. Memang sukar untuk menjalinkan hubungan dua hala yang baik jika Singapura terus menerus memberikan gambaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara kaki buli. Negara yang tidak boleh berlaku adil dan negara yang tidak boleh mematuhi perjanjian antarabangsa, sama ada di dalam, mahupun di luar negara. Dalam pelbagai rundingan yang sudah diadakan sejak zaman berzaman, Malaysia sentiasa ingin menjadi jiran yang prihatin dan amat memahami. Jika direnung dari segi sejarah, Malaysia tidak pernah mengganggu bekalan air ke Singapura. Malah, Malaysia tidak akan menyekat gugat bekalan air ke Singapura - itulah janji yang dibuat oleh Malaysia seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Malaysia tidak pernah sekali-kali cuba mengambil kesempatan ke atas keperluan air Singapura. Malaysia tidak pernah mengingkari apa juga komitmennya di bawah undang-undang. Walaupun hubungan dua hala ini ada pasang surutnya, Malaysia tidak pernah menahan walau setitis air sekalipun ke Singapura. Sememangnya Malaysia gembira jika pada masa depan, Singapura terus mendapatkan air dari Johor, atau jika Singapura tidak bersetuju dengan harga air yang ditetapkan, mereka mengambil keputusan untuk tidak membeli langsung, walau segelen sekalipun. Apa yang Malaysia harapkan cuma harga dan urus niaga yang berpatutan. Dalam pelbagai ucapan dan artikel yang diedarkan ke seluruh dunia *, Singapura dengan begitu agresif memberikan kecaman dan membangkitkan bermacam-macam isu. Kini tiba masanya untuk Malaysia memberikan maklum balas bagi menjelaskan hakikat yang sebenarnya. 1. Jika 3 sen setiap 1,000 gelen adalah harga yang tidak munasabah, ia adalah kesilapan Malaysia sendiri. Singapura: Pada tahun 1961, Malaysia sendiri yang mengambil keputusan untuk meletakkan harga air mentah dari Johor pada kadar 3 sen. Jika Malaysia tidak berpuas hati dengan harga tersebut, itu adalah kesilapan mereka sendiri. Malaysia: Apa yang tidak dinyatakan adalah konteksnya. Pada bulan Julai 1960, untuk pertama kalinya perbincangan yang serius sudah berlangsung antara persekutuan Tanah Melayu (pada ketika itu) dengan Singapura berhubung percantuman yang mungkin berlaku. Pada masa itu, keadaan politik di Singapura sedang bergolak. Dalam pilihan raya kecil pada bulan Julai 1961, PAP berkempen di atas platform percantuman dengan Malaysia. Malangnya Parti Pekerja daripada pihak pembangkang memenangi pilihan raya kecil itu. Selepas pilihan raya kecil, 13 orang wakil rakyat PAP belot dan menyertai parti pembangkang untuk menubuhkan ‘parti baru atas tiket haluan kiri ekstrem dalam spektrum politik iaitu Barisan Sosialis’. “Justeru itu dalam tempoh tiga bulan, kekuatan undian 43 kerusi kerajaan (Singapura) dikurangkan hingga kepada majoriti yang kecil sebanyak 27 kerusi saja dalam Perwakilan 51 orang ahli. Pembelotan ini sebahagian besarnya adalah polisi PAP terhadap percantuman dengan Tanah Melayu.” (Malaysian Politics oleh Gordon Means, halaman 296-297) ___________________________________________________________________________ *Sebagai contoh lihat, Singapore Ministry of Information, Communications and the Arts 2003, “Water Talks? If Only It Could”. Namun tanpa merasa serik, pada bulan Ogos 1961, Lee Kuan Yew bertemu dengan Tunku Abdul Rahman selama tiga hari untuk merangka perjanjian awal percantuman. Dengan mengambil kira cabaran yang perlu ditempuhi oleh PAP untuk menjual idea percantuman ini kepada pengundi-pengundi Singapura Persekutuan Tanah Melayu mengambil keputusan untuk bermurah hati dalam isu air dan beberapa isu lain. 2. Malaysia kehilangan hak untuk mengkaji semula harga air. Singapura: “Malaysia mendesak bahawa mereka mempunyai hak untuk mengkaji semula harga air, sementara kita menegaskan bahawa mereka kehilangan hak mengkaji semula...” (Pernyataan oleh Profesor S. Jayakumar, Menteri Luar Negara Singapura, di Parlimen Singapura pada 25 Januari 2003) “Lembaga Perbekalan Awam sebagai pengganti kepada nama Majlis Perbandaran Negeri Singapura berhubung perjanjian-perjanjian yang dinyatakan di atas, tidak dapat menerima bahawa kerajaan negeri Johor berhak mendapatkan kajian semula yang dirujuk dalam surat anda,” (Surat dari Lembaga Utiliti Awam bertarikh 9 Oktober 2002, sebagai menjawab surat daripada Kerajaan Negeri Johor bertarikh 14 Ogos 2002) Malaysia: Singapura berulang kali mendakwa bahawa Malaysia hilang hak untuk mengkaji semula harga air kerana Malaysia tidak berbuat demikian pada tahun 1986 dan 1987 iaitu tepat 25 tahun selepas tarikh kedua-dua perjanjian Air 1961 dan 1962. Pada hakikatnya, Fasal 17 dalam perjanjian 1961 dan Fasal 14 dalam perjanjian 1962 dengan jelas menyatakan: “Peruntukan perenggan (i) dan (ii) dalam fasal sebelum ini dalam kenyataan perjanjian adalah berdasarkan kepada kajian semula selepas tamat tempoh 25 tahun dari tarikh perjanjian ini...” Dua puluh lima tahun selepas tahun 1961 dan 1962 masing-masing bermaksud pada bila-bila masa selepas 1986 dan 1987. Ini tidak bermakna ia mesti dibuat serta-merta pada kedua-dua tarikh tersebut. Pada bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987, kedua-dua pihak berhak di sisi undang-undang untuk mengkaji semula harga. 3. Malaysia telah banyak kali bersetuju dengan harga air... Singapura: “Dalam satu mesyuarat antara Dr Mahathir Mohamad dan Encik Lee Kuan Yew pada 15 Ogos 2000, kedua-dua pemimpin tersebut telah bersetuju bahawa atas kesediaan Malaysia menjual air kepada Singapura selepas tamat tempoh perjanjian sedia ada, Singapura kini akan membayar 45 sen per 1,000 gelen.” (Singapore Ministry of Information, Communications and the Arts, 2003 “Water Talks? If Only It Could”, halaman 8). Malaysia: Tawaran Singapura tidak pernah diterima oleh Malaysia. Kenyataan ini disokong oleh sebuah artikel yang ditulis berkenaan mesyuarat pada 15 Ogos 2000 itu oleh Cik Irene Ng, seorang penulis politik akhbar Strait Times Singapura dan kini merupakan seorang ahli Parlimen Singapura. Dengan tajuk utama artikel tersebut berbunyi : “Singapore-KL pact’s success hinges on details,” (Kejayaan perjanjian Singapura-KL bergantung kepada butiran) , Cik Ng menulis: “Seperti mana-mana kerangka, perjanjian yang terlalu luas untuk menyelesaikan isu-isu yang masih tergantung antara Singapura dan Malaysia tidak akan termeterai selagi tidak dibentangkan dengan betul dan semangat ditiupkan ke dalamnya. Persetujuan yang dicapai oleh Menteri Kanan Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada Selasa lalu kini sedang dilengkapkan oleh para pegawai. Butiran yang perlu dilengkapkan termasuklah harga air mengikut perjanjian sedia ada dan kadar air yang belum diproses kepada air yang telah dirawat selepas 2061. Tambahan lagi, Menteri Kanan Lee Kuan Yew sendiri mengesahkan tiadanya persetujuan tentang harga. Dalam surat bertarikh 24 Ogos 2000, yang ditulis sembilan hari selepas pertemuannya dengan Dr Mahathir, Encik Lee menulis kepada Tun Daim, Menteri Kewangan ketika itu: “Bagi memudahkan kita menulis antara satu sama lain untuk mengkaji pelbagai pilihan, semua nota dan surat yang saya hantar kepada anda atau Mahathir, atau sebaliknya akan dilayan Tanpa Prejudis: bahawa tidak ada sebarang perjanjian hingga semua perkara dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.” Kami tidak faham mengapa Singapura berterusan menegaskan bahawa Malaysia telah menerima tawaran mereka pada 15 Ogos 2000 untuk membayar 45 sen per 1,000 gelen untuk air mentah. Setakat ini, Singapura telah mencadangkan banyak harga. Begitu juga Malaysia. Tiada persetujuan telah dicapai tentang harga air yang berpatutan. meminjam kata Encik Lee Kuan Yew sendiri, semua harga yang dicadangkan atau disebut adalah “untuk mengkaji pilihan”. Semua harga yang disebut atau dicadangkan tertakluk kepada perundingan dan persetujuan oleh kedua-dua belah pihak. 4. Selepas bersetuju lebih dari sekali, Malaysia telah berulang kali memungkiri dan menukar pendiriannya... a) dari 45 sen Malaysia ke 60 sen Malaysia per 1,000 gelen Singapura: “Walau bagaimanapun, enam bulan kemudian iaitu pada Februari 2001, Malaysia menarik balik persetujuannya ke atas 45 sen. Dr Mahathir berkat, Johor percaya 60 sen lebih berpatutan. Singapura kemudian menawarkan kompromi : 45 sen untuk bekalan air sekarang dan 60 sen untuk bekalan air selepas 2011. Pada bulan Mac 2002, Malaysia memberikan satu kejutan kepada Singapura. Mereka mahukan 60 sen untuk bekalan air sekarang dan mereka juga mahu mengundurkan harga tersebut kepada tahun 1986 dan 1987. Bukan itu saja, mereka juga mahukan RM3 untuk bekalan dari tahun 2007 hingga 2011. Dari tahun 2011 ke atas, harga akan diselaraskan pada setiap tahun inflasi.” (Singapore Ministry of Information, Communications and the Arts, 2003 “Water talks? If Only It Could”, halaman 8). Malaysia: Malaysia tidak pernah menerima tawaran Singapura pada kadar 45 sen per 1,000 gelen. Jadi persoalan mengundurkan harga tidak timbul langsung. Dalam suratnya yang bertarikh 21 Februari 2001, Dr Mahathir berkata, Johor percaya bahawa 60 sen adalah harga yang berpatutan. Tidak terdapat di mana-mana dalam surat tersebut tentang cadangan Dr Mahathir bahawa harga 60 sen akan dikenakan selepas tahun 2011. Dr Mahathir menulis: “Johor bersetuju penyemakan dibuat untuk harga air mentah yang sekarang ini dibekalkan kepada Singapura dan air telah dirawat yang dibelinya dari Singapura. Harga air mentah yang dijual kepada negeri-negeri lain di Malaysia tidak boleh dijadikan asas untuk menetapkan harga air mentah. Terdapat elemen subsidi dalam bekalan tersebut. Johor percaya bahawa harga yang berpatutan adalah 60 sen (per 1,000 gelen sehari untuk air yang belum diproses). Harga ini perlu dikaji semula setiap lima tahun.” Jelas dalam surat Dr Mahathir ini bahawa harga 60 sen yang dicadangkan adalah untuk masa sekarang, untuk masa yang terdekat ini-dan bukan pada tahun 2011 seperti yang didakwa oleh Singapura. Berikut dengan surat tersebut dalam sepucuk surat lain bertarikh 18 Oktober 2001, sebagai jawapan kepada surat Menteri Kanan Lee bertarikh 21 September 2001, Dr Mahathir juga menegaskan perlu kedua belah pihak mencapai kemajuan dalam rundingan. Dr Mahathir juga menegaskan bahawa penghapusan semua halangan terhadap hubungan dua hala hanya boleh dilakukan apabila setiap pihak puas hati bahawa tiada mendapat faedah yang adil dan munasabah. Pendirian Malaysia sentiasa konsisten. Tidak ada percanggahan dalam kedua-dua pucuk surat yang ditulis oleh Dr Mahathir bertarikh 21 Februari 2001 dan 4 Mac 2002. Dan tiada pendirian yang telah diubah. (b) kepada RM6.25 per 1,000 gelen.. Singapura: “ Tetapi bukan itu saja. Apabila Menteri Luar kedua-dua negara bertemu pada bulan September 2002, pihak Malaysia membentangkan satu lagi formula harga. Formula ini menghasilkan harga yang 200 kali lebih tinggi - RM6.25 per 1,000 gelen .” (Singapore Ministry of Information, Communications and the Arts, 2003 “Water talks? If Only It Could”, halaman 8). Malaysia: Harga RM6.25 per 1,000 gelen telah diperoleh dengan menggunakan formula Singapura sendiri, formula yang menurut Singapura “ boleh bertahan lama”. Ia merupakan asas untuk mengira harga air dan bukan penanda harga. Membuat tawaran dan pihak yang satu lagi membuat tawaran balas merupakan satu perkara biasa dalam perundingan. Ia bukannya “ mengubah pendirian”. Sememangnya RM6.25 juta adalah satu kenaikan yang tinggi daripada harga tiga sen per 1,000 gelen sekarang ini. Tetapi ini harus dilihat dalam konteksnya yang betul: -harga asal tiga sen per 1,000 gelen adalah tidak munasabah. Harga yang 100 atau 200 kali dari harga asal yang tidak munasabah tidak semestinya tidak munasabah. -Dari dulu lagi kami sudah banyak menerima syarahan daripada pemimpin-pimimpin Singapura mengenai bagaimana perdagangan bebas berfungsi, kadang kala pada ketika kami dalam keadaan yang terdesak dan sedang tercungap-cungap untuk bernafas. Namun, mungkin terdapat kebaikan merujuk kepada bagaimana pasaran bebas beroperasi. Jelas sekali bahawa RM6.25 per 1,000 gelen bekalan air dari Tuhan (berbanding air dari pembetung) adalah lebih baik daripada kos perbandingan sumber air alternatif Singapura. Menurut Singapura, ‘Newater’ (air pembetung yang dikitar semula oleh Singapura) berharga RM7.50 per 1,000 gelen sementara air yang dinyahgaramkan berharga RM7.65 per 1,000 gelen. Dalam surat yang bertarikh 11 April 2002, Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong sendiri telah mencadangkan mekanisme penentuan harga yang boleh bertahan lama. Beliau mencadangkan penetapan harga air yang telah dirawat dari Johor pada kadar peratusan yang dipersetujui ke atas kos sumber air alternatif Singapura. Dan di Mesyuarat Menteri-menteri Malaysia-Singapura pada 1 dan 2 Julai 2002, Menteri Luar Singapura Profesor S Jayakumar secara rasmi mencadangkan penetapan harga air yang telah dirawat pada kadar peratusan yang telah dipersetujui ke atas harga Newater Singapura. 5. Mendapatkan asas maklumat yang tepat Singapura: “Singapura membeli hanya separuh daripada airnya atau lebih kurang 150 juta gelen sehari (jgh) dari Malaysia. Baki 150 jgh datang dari takungannya sendiri,” (Singapura Ministry of Information, Communication and the Arts, 2003 “Water Talk? If Only It Could”, hlm6 Malaysia: Kami agak keliru. Rekod kadar pengambilan air (direkodkan selepas Singapura dan Malaysia sama-sama membuat bacaan meter) menunjukkan fakta-fakta berikut: Tahun Bekalan harian Bayaran tahunan Lebihan bayaran oleh Singapura dari Johor dari Singapura jika ia hanya mengambil (juta gelen) kepada Johor (RM) 150 jgh (RM) 2000 202.280 2,221,032 RM 574,034 2001 218.561 2,393,246 RM 750,743 2002 258.524 2,830,837 RM1,188,338 Jika Singapura mendakwa ia hanya menerima 150 juta gelen sehari, hanya dua kemungkinan boleh berlaku: - Satu kebocoran yang besar telah berlaku sebanyak 52.3 juta gelen setiap hari dalam tahun 2000, satu kebocoran yang besar sebanyak 68.6 juta gelen dalam tahun 2001 dan kebocoran yang menakjubkan sebanyak 108.5 juta gelen dalam tahun 2002. - Berdasarkan jumlah air yang didakwa oleh Singapura diterima dari tahun 2000 hingga 2002, republik pulau itu telah membuat bayaran lebihan yang begitu banyak kepada Johor. Adalah tidak benar sama sekali bahawa Lembaga Pembekalan Awam Singapura (LPA) mendapatkan hanya separuh daripada bekalan airnya dari Johor. Berdasarkan pembacaan meter bersama, LDA mendapatkan 66 peratus daripada bekalan airnya dari Johor pada tahun 2000 dan 72 peratus pada tahun 2001. Mungkinkah ada sebab-sebab yang baik mengapa Singapura mahu mengurangkan kadar pengambilan airnya dari Johor (dan penghargaannya kepada Johor kerana menjual air mentah dengan begitu murah) sehingga berbilion gelen ? 6. Singapura mengalami kerugian; Singapura memberi subsidi kepada Johor Singapura: “...Singapura mengalami kerugian apabila ia menjual semula air kepada Johor. Air yang dijual oleh Singapura kepada Johor adalah air yang telah dirawat. Singapura terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM2.40 untuk merawat setiap 1,000 gelen air. Dengan menjual kepada Johor pada harga 50 sen, subsidi yang diserap oleh Singapura adalah sebanyak RM1.90. Darabkan jumlah itu dengan jumlah keseluruhan air yang telah dirawat yang dibeli oleh Johor dari Singapura dan subsidi tersebut akan berjumlah RM70,000 sehari dan RM25 juta setahun!” (Singapore Ministry of Information, Communication and the Arts, 2003 “Water Talk? If Only Could”, hml 6) Malaysia: Berdasarkan dakwaan Singapura bahawa kos merawat air adalah sebanyak RM2.40 untuk setaip 1,000 gelen, subsidi yang ditanggung oleh Singapura akan berjumlah RM21.1 juta pada tahun 2000, RM23.9 juta pada tahun 2001 dan RM26.5 juta pada tahun 2002. Tetapi menurut Singapura ia adalah sebanyak “RM25 juta setahun!” (Lihat tanda seruan yang tegas). Walau cara manapun seseorang melihat hal ini, subsidi Singapura terhadap air yang telah dirawat tidaklah setinggi mana. (malaysia dengan sukacitanya ingin memaklumkan kepada republik pulau itu bahawa pada masa depan “subsidi” ini tidak lagi diperlukan. Johor tidak lagi akan membeli air yang telah dirawat dari Singapura). Selain hakikat bahawa setaip tahun Johor telah membayar lebih banyak untuk sedikit air yang telah dirawat yang dibelinya dari Singapura berbanding apa yang dibayar oleh Singapura kapada Johor untuk lautan air mentah yang diterima oleh republik tersebut, cuba teka berapa banyak subsidi yang telah ditanggung oleh Johor untuk Singapura yang jauh lebih mewah? Tahun Subsidi tahunan “Subsidi” tahunan Lebihan jumlah subsidi Malaysia kepada Singapura kepada Malaysia kepada Singapura. Singapura Malaysia (Jumlah bersih subsidi Malaysia kepada Singapura) 2000 RM375.4 juta RM21.1 juta RM354.3 juta (S$161 juta) 2001 RM404.5 juta RM23.9 juta RM380.6 juta (S$174.1 juta) 2002 RM478.4 juta RM26.5 juta RM451.9 juta S$205.4 juta) Jika Singapura tidak mempunyai akses kepada air yang belum diproses dari Johor dan jika ia terpaksa mengeluarkan “Newater” untuk menggantikan air yang belum diproses yang diambilnya dari Johor, daripada membayar sebanyak RM2.83 juta pada tahun 2002, Singapura terpaksa berbelanja sebanyak RM478.4 juta atau S$217.5 juta (US$125.9 juta) pada tahun 2002. Jika Singapura telah memberi subsidi tahunan kepada Malaysia sehingga berjumlah “RM25 million!” Malaysia sepanjang tiga tahun lalu (sahaja) telah memberi subsidi kepada Singapura sebanyak RM1,258.3 juta! (S$572 juta atau AS$333.1 juta). Subsidi bersih Malaysia kepada Singapura adalah sebanyak RM354.3 juta dalam tahun 2000, RM380.6 juta dalam tahun 2001 dan RM451.9 juta pada tahun 2002! (mungkin di sini tanda seruan boleh dijustifikasikan). 7. Bayaran untuk kos prasarana dan operasi Singapura: “Selama ini Singapura telah menanggung semua prasarana seperti empangan, saluran paip, kilang dan peralatan. Kita juga membayar kos penyelenggaraan dan operasi. Ini berjumlah berjuta dolar setahun. Johor turut menerima manfaat kerana jabatan air turut menghantar bekalan air kepada penduduk Johor. Prinsip pembayaran yang sama telah digunakan apabila Johor menandatangani perjanjian Empangan Linggiu dengan LPA Singapura pada tahun 1990: Singapura telah menanggung pembinaan empangan tersebut. Johor memiliki empangan itu tetapi Singapura membayar semua kos operasinya. Jumlah ini berasingan daripada RM320 juta yang dibayar sebagai duit muka kepada Johor pada tahun 1990 sebagai pampasan kerana kehilangan kegunaan tanah. Semua sekali, Singapura telah berbelanja lebih S$1 bilion untuk projek air ini. Ini adalah wang yang telah masuk ke dalam ekonomi Johor. Empangan tersebut juga telah memberi manfaat kepada penduduk Johor. Apakah Singapura akan melabur dengan begitu banyak dalam projek ini jika ia tahu bahawa Malaysia akan menaikkan harga air hanya 10 tahun kemudian?” (Singapore Ministry of Information, Communications and the Arts, 2003 “Water Talks? If Only It Could”, hlm 7) Malaysia: Pegawai-pegawai Kerajaan Singapura memang pintar. Adakah mereka mengharapkan harga 1.4 sen Singapura per 1,000 gelen akan kekal selama-lamanya? Adakah mereka akan membayar sejumlah wang yang banyak tanpa memastikan Singapura akan menerima pulangan nilai sebaik duit mereka? Jika Singapura tidak membeli 368.7 bilion air dari Johor pada kadar 3 sen per 1,000 gelen dari tahun 1997 hingga 2002, dan jika Singapura menggunakan Newater sebagai gantinya, bil air republik tersebut akan meningkat dengan tambahan sebanyak RM2,376.4 juta atau S$1,080.2 juta. Maksudnya, dari tahun 1997 hingga 2002, dengan membekalkan air pada kadar 3 sen per 1,000 gelen, Malaysia telah memberi subsidi kepada Singapura berjumlah RM2,376.4 juta - atau RM176.4 juta lebih daripada apa yang didakwa oleh republik itu sebagai perbelanjaan prasarana pada tahun 1990 sebanyak S$1 bilion (RM2.2 bilion). Berdasarkan mana-mana kayu pengukur sekalipun , pulangan untuk Singapura ke atas pelaburan untuk sebanyak RM2.2 bilionnya adalah begitu baik sekali. Ini tidak mengambil kira kawasan tanah yang terpaksa dikhaskan oleh Malaysia bagi mengekalkan kawasan tadahan untuk membekalkan air mentah ke Singapura, kawasan tadahan yang berpuluh kali lebih besar dari keseluruhan pulau Singapura. 8. Isu pokok: harga yang berpatutan atau proses perundingan? Singapura: “Bersifat keundangan bukanlah pilihan. Sebagai sebuah negara yang kecil, undang-undang adalah satu-satunya perlindungan buat Singapura. Bagi Singapura, isu pokok bukanlah sebanyak mana yang kami bayar tetapi bagaimana sebarang penyemakan harga boleh dicapai.” (Singapore Ministry of Information, Communications and the Arts, 2003 “Water Talks? If Only It Could”, hlm 10) Malaysia: Kami tidak bersetuju dengan Singapura. Isu pokok bukanlah tentang bagaimana penyemakan harga dapat dicapai. Isu pokoknya adalah harga yang berpatutan - untuk kedua-dua belah pihak. Kami sentiasa percaya kepada situasi yang memberi manfaat kepada semua pihak. Atas sebab inilah kami telah mempertimbangkan harga untuk air Johor pada kadar yang akan memastikan Lembaga Perbekalan Awam Singapura (LPA) berterusan mengaut keuntungan besar. Pada 117 sen Singapura semeter padu, bersama-sama cukai pemuliharaan air yang perlu dibayar oleh semua pengguna domestik di Singapura, setiap pengguna di Singapura membayar kepada LPA sebanyak S$6.84 per 1,000 gelen (atau RM15.06 per 1,000 gelen). Anggaplah Singapura membayar Johor sebanyak RM6.25 per 1,000 gelen dan anggaplah ia membeli jumlah yang sama air yang belum diproses - 94,361,000,000 gelen untuk keseluruhan tahun 2002 - dan berdasarkan dakwaan Singapura bahawa ia menanggung kos sebanyak RM2.40 untuk merawat setiap 1,000 gelen air, LPA akan mengaut keuntungan sebanyak RM800 juta dalam pendapatan tahunannya, hanya daripada air dari Johor semata-mata. Lembaga Perbekalan Awam Singapura mampu membayar RM6.25 per 1,000 gelen air TANPA perlu menambah satu sen pun caj kepada pengguna di Singapura dan masih boleh tersenyjm menuju ke bank. Dengan perkataan lain, ini adalah satu situasi yang memberi manfaat kepada semua orang: Johor akan mendapat harga yang lebih tinggi, pengguna di Singapura akan terus membayar harga yang sama untuk air yang sama dan LPA akan terus mengaut keuntungan yang besar. KESIMPULAN Dalam kenyataan kementeriannya kepada Parlimen Singapura pada 25 Januari 2003, Profesor S. Jayakumar, Menteri Luar Singapura berkata: “Sememangnya Singapura tidak akan jatuh miskin dengan kenaikan dari tiga kepada 45 sen. Begitu juga Malaysia tidak akan menjadi kaya.” Kami setuju. Dalam dolar Singapura, jumlah yang terlibat adalah sungguh kecil. Walaupun jika Singapura terpaksa membayar kepada Malaysia RM6.25 per 1,000 gelen, kos untuk BEKALAN AIR SEPANJANG TAHUN PADA TAHUN LEPAS akan mencapai hanya S$268.1 juta - hanya 0.17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Singapura untuk tahun 2002 - atau kurang daripada satu per lima daripada satu peratus KDNK Singapura. Pada kadar RM6.25 per 1,000 gelen, setiap 4,163,000 orang yang tinggal di Singapura hanya membayar S$64.45 atau kurang daripada 19 Big Mac sebagai pertukaran untuk bekalan air selama setahun dari Johor. Malah jika pada kadar RM6.25 per 1,000 gelen, kos bekalan air setahun untuk seorang yang tinggal di Singapura adalah kurang daripada 0.17 peratus daripada KDNK per kapitanya sebanyak S$37,401 pada tahun lepas. Singapura adalah antara negara yang menikmati taraf hidup yang tinggi di Asia dan setakat ini merupakan negara paling kaya di kalangan negara-negara Asean, selain Brunei. Keengganan Kerajaan Singapura untuk membayar harga yang berpatutan dan yang ma,pu dilakukannya adalah amat membingungkan. Dengan memanjangkan pertikaian dan berterusan bersungut tentang harga air ini, Singapura menghadapi risiko merosakkan hubungannya dengan negara jiran yang selama ini telah banyak berkongsi sejarah dan yang sepatutnya sama-sama berkongsi masa depan tanpa berdendam, masa depan yang menjanjikan harapan, digerakkan dengan jalinan persahabatan, saling hormat-menghormati dan saling mendapat manfaat. Atas dasar rakyat kepada rakyat, Kerajaan Singapura kini sedang melenyapkan wadah muhibah yang telah pun semakin cepat menghilang. Malaysia mahu menekankan sekali lagi apa yang telah kami suarakan dahulu: kami sentiasa akur kepada komitmen undang-undang dan kami akan terus berbuat demikian dalam komitmen kami pada masa akan datang. Penduduk Singapura boleh bergantung harap kepada Malaysia untuk terus menghantar bekalan air mentah ke Singapura sekurang-kurangnya sehingga 2061 apabila kami mungkin akan memilih untuk membekalkan air yang telah dirawat pula. Pada hakikatnya, Malaysia telah dengan konsisten menjejaskan kedudukan rundingannya apabila berterusan mengulangi komitmennya menjamin penghantaran bekalan. Kenapa kami berbuat demikian? Ini adalah kerana kami memahami kepentingan tanggungjawab undang-undang. Ia adalah kerana kami sedar akan keperluan untuk memberi jaminan kepada Singapura bahawa Malaysia berjanji keperluan penting mereka untuk mendapatkan air tidak akan menjadi korban. Kerajaan Singapura mungkin mahu bertanya soalan mudah ini yang sering ditanya rakyat Malaysia. Mengapa tidak kita lupakan sahaja pertikaian ini, mengapa tidak harga yang berpatutan? 

tamat