Penjajahan budaya melalui media massa

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 19/10/1999 p.8)

BUDAYA mencerminkan bangsa, tanpa budaya maka hilanglah bangsa. Justeru, jika sesuatu bangsa itu kehilangan budayanya, maka ia juga kehilangan jati dirinya. Tanpa jati diri, bangsa itu tidak mungkin dikenali, seolah-olah ia tidak lagi wujud.

Begitu juga jika budaya sesuatu bangsa berubah, maka jati dirinya turut berubah. Jika perubahan itu menyamai budaya bangsa lain, maka ia mungkin dianggap sebagai bangsa itu. Hatta, bangsa yang asal sudah lenyap.

Apabila dunia menjadi apa yang digelar `perkampungan sejagat', pertembungan budaya menjadi semakin ketara. Akibatnya, budaya yang perkasa akan menjadi ikutan manakala budaya yang tidak perkasa akan ditinggalkan.

Sejarah budaya bangsa Melayu amat unik, dari pengaruh animistik kepada Hinduisme, budaya dan juga kepercayaan agama orang Melayu sentiasa berubah, seolah-olah mereka amat mudah terpengaruh dengan apa yang dianggap lebih hebat.

Tetapi dengan kedatangan Islam, walaupun orang Melayu sekali lagi mengubah budaya dan kepercayaan, jati diri mereka menjadi matang serta kukuh dan inilah yang dipertahankan sehingga hari ini.

Ini terbukti dengan penolakan dan penentangan terhadap budaya dan agama Barat yang cuba disebarkan oleh penjajah Portugis dan Inggeris walaupun pihak Inggeris kemudian cuba menerap nilai budaya mereka secara halus melalui sistem pendidikan sekolah mubaligh.

Orang Melayu tetap berpegang kepada budayanya walaupun suasana kehidupan agak berubah. Budaya Inggeris dilihat sebagai budaya penjajah dan harus ditentang. Mereka yang terpengaruh dianggap sebagai pengkhianat bangsa.

Selepas merdeka, budaya Melayu tetap utuh dan menjadi teras budaya Malaysia walaupun dengan kehadiran bangsa Cina dan India sebagai anggota masyarakat majmuk negara.

Bagaimanapun, angin perubahan yang bertiup di seluruh dunia selepas Perang Dunia Kedua menyaksikan budaya Amerika yanng disebarkan terutamanya menerusi muzik dan filem serta gaya penampilannya semakin berjaya memecah tembok budaya tempatan.

Muzik rock yang lahir di Barat lebih 40 tahun lalu dan berkembang sekitar tahun 60-an apabila golongan anak muda di Amerika Syarikat memberontak kerana dikerah berperang di Vietnam menjadi ikutan golongan muda tempatan sehingga tertubuhnya banyak kumpulan gitar rancak (kugiran) membawa irama rock-and-roll atau pop-yeh-yeh.

Mereka meniru aksi penyanyi, pemuzik dan pengikut rock yang lazimnya berambut panjang dan mengerbang, berseluar lusuh dan koyak, berbaju atau jaket tanpa lengan yang dihiasi perkataan yang keterlaluan atau lucah, berskaf dan memakai but tinggi.

Mereka juga mengenakan perhiasan seperti subang, rantai labuh dengan pelbagai lambang seperti lambang Nazi atau hippies, tali pinggang berkepala besi dengan bermacam bentuk dan gelang besi atau tali pelbagai warna diikat pada lengan.

Selain penampilan, gaya hidup bebas juga menjadi ikutan. Sejak itu menularlah gejala sosial membabitkan kumpulan ini seperti lepak, ketagihan arak dan dadah, serta seks rambang.

Pengaruh rock menular secara halus di peringkat sekolah seperti baju dikeluarkan, seluar senteng, baju kurung labuh melepasi lutut dan kain singkat (bagi pelajar perempuan) serta rambut berekor.

Budaya punk dan skinhead yang popular di beberapa negara Eropah sekitar 1970-an dan 1980-an, juga menjadi ikutan golongan yang kemudian terpengaruh pula dengan budaya thrash, rap dan alternatif.

Mengamalkan budaya ini dikatakan satu cara protes golongan remaja yang berpendapat gaya hidup normal adalah membosankan. Konsert rock menjadi tumpuan dan kini seolah-olah menjadi kemestian untuk acara besar di negara kita.

Tokoh budaya, Azah Aziz, menyifatkan fenomena ini sebagai penjajahan budaya, satu serangan yang dimulakan kuasa Barat sejak era penjajahan dan berterusan sehingga kini dengan budaya Amerika menjadi dominan, bukan saja di tanah air kita, malah di seluruh dunia.

Katanya, hakikat ini tidak disedari golongan muda sekarang kerana pada pandangan mereka, budaya adalah isu remeh yang sengaja dibangkitkan orang tua mereka yang ketinggalan zaman.

Bagi mereka, zaman penjajahan sudah berakhir dan yang muncul sekarang ialah era globalisasi yang memecah tembok sempadan negara bangsa dan fenomena ini dimanifestasikan dengan wujudnya alat perhubungan sejagat, iaitu Internet.

Azah berkata, golongan muda sekarang begitu terdedah kepada penjajahan budaya ini kerana pengaruh budaya asing disebar meluas melalui media massa terutamanya siaran televisyen, video dan Internet.

Katanya, pada zaman sebelum merdeka, golongan muda tidak terdedah sebegitu hebat kepada budaya asing walaupun penjajah British cuba menerapkan budaya mereka menerusi sistem pendidikan sekolah mubaligh.

Tambahan pula, katanya, pada masa itu tiada siaran televisyen dan sanubari mereka sentiasa bergelora dengan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan, walaupun mereka hidup di bawah belenggu penjajah.

Katanya, jika dilihat golongan muda tempatan masa ini memang sukar mencari perbezaan di antara mereka dengan golongan muda Amerika, daripada pakaian kepada pergaulan, kelihatan sama saja dengan apa yang dapat ditonton dalam aksi filem Hollywood.

"Jika pemuda Amerika memakai topi secara terbalik, pemuda kita pun meniru pakai topi secara tak betul, kalau mereka bercakap dengan meninggi suara, kita pun ikut sama menjerit, begitu juga dengan cara bersalam, masing-masing bertampar tangan dengan mengangkat tinggi-tinggi," katanya.

Kata Azah, kita boleh meminjam budaya mereka tetapi biarlah yang baik dan bermanfaat saja, bukan meniru semuanya bulat-bulat kerana budaya bangsa Timur adalah lebih lembut dan baik daripada budaya Barat.

"Tidak salah untuk menjadi canggih dengan mengikut budaya bangsa yang lebih maju daripada kita, tetapi biarlah apa yang diikuti itu baik belaka. Kita juga boleh menjadi canggih dengan budaya sendiri," katanya jelas merujuk kepada alasan golongan muda meniru budaya asing kerana mahu sama canggih.

Pandangan ini juga dikongsi seorang lagi tokoh budaya, iaitu Tan Sri Prof Awang Had Salleh, yang menyifatkan fenomena itu sebagai penjajahan minda yang kini semakin meruncing kerana turut berlaku di dalam bilik tidur kita.

Katanya, tanpa disedari kita mendedahkan diri kepada pengaruh budaya asing dengan menonton rancangan asing menerusi siaran televisyen satelit dan melayari Internet di rumah.

"Tidak hairan ramai yang menganggap Presiden Bill Clinton sebagai pemimpin mereka kerana terlalu kerap melihat dan mendengar apa yang diucapkannya menerusi siaran berita antarabangsa seperti CNN," katanya.

Prof Awang Had berkata, orang ramai yang tidak mempunyai kemudahan seperti itu juga terdedah kepada penjajahan minda kerana saban hari mereka disogokkan dengan rancangan asing dalam siaran televisyen tempatan.

Masalahnya, katanya, orang kita lebih suka menonton rancangan asing kerana mutunya jauh kebih tinggi daripada rancangan tempatan dan ini menyukarkan pendedahan kepada budaya sendiri.

Katanya, sudah tiba masanya pihak terbabit bertindak meningkatkan mutu rancangan tempatan supaya budaya kita bukan saja boleh diterapkan pada minda bangsa sendiri tetapi diserapkan kepada orang asing.

"Komunikasi sekarang hanya bersifat satu hala saja, budaya mereka datang ke sini tetapi budaya kita tidak dapat keluar ke negara mereka," katanya.

Prof Awang Had berkata, jika perkara ini tidak dapat dilakukan maka wajarlah kita mempertahankan warisan budaya bangsa dengan semangat bencikan penjajahan dalam apa bentuk sekalipun seperti yang dimiliki generasi sebelum merdeka.

"Perlu ada kesedaran bahawa memang berlaku penjajahan minda kerana pada masa ini juga berlaku penjajahan ekonomi," katanya.

Kesedaran inilah yang ingin dilihat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mekar subur di sanubari golongan muda. Beliau mahu mereka berbangga dengan warisan sendiri, bukan mengagung-agungkan budaya asing.

Ketika berucap di hadapan 1,000 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok dua tahun lalu, beliau berkata, budaya asing menjadi ikutan kerana masyarakat negara ini masih mempunyai rasa rendah diri yang tebal sehingga sanggup meniru apa saja yang dilakukan oleh masyarakat di negara yang dianggap maju.

"Kita tak payahlah ada budaya punk ini kerana ia adalah satu kebodohan... tengok orang putih buat apa pun kita nak buat. Orang putih buat kelakuan tak senonoh kita pun nak buat...minum arak, hisap dadah.

"Perasaan rendah diri yang ada pada masyarakat kita yang selalu ingin tiru orang yang kita anggap lebih baik daripada kita harus kita hapuskan," katanya.
 
AZAH AZIZ

Tokoh Budayawan Negara yang dilahirkan di Singapura pada 21 Ogos 1928, mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Convent Inggeris Johor Bahru, Johor. Beliau menunjukkan minat yang mendalam dalam hikayat lama, mengumpul barang lama, memasak dan mengumpul buku masakan serta tekstil.

Ketika bekerja sebagai wartawan iaitu selama 16 tahun di Berita Harian dan empat tahun di Utusan. Beliau banyak menulis mengenai budaya, seni dan wanita. Selain itu, beliau menghasilkan beberapa buku seperti Marilah Bermain, Buku Pantun Kanak-kanak dan buku mengenai kraftangan.

Berhasrat melihat bangsa maju dan berbudaya, isteri kepada tokoh akademik, Profesor
Diraja Ungku Aziz banyak memberikan cadangan dan kritikan membina kepada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya generasi muda mengenai budaya
negara.

Menggemari pakaian tradisional khususnya baju kurung, beliau masih meneruskan perjuangan mendaulatkan budaya Melayu, termasuk pakaian tradisional. WHB