AWAS OPERASI TARIAN HUJAN

Oleh Meor Hisham Zulkifli (BH 29/4/03)

MUNGKIN namanya seperti biasa didengar. Tetapi ia bukan tarian hujan seperti yang dilakukan wanita India atau Australia untuk memanggil hujan selepas kemarau menghimpit. Projek Operasi Tarian Hujan atau Operation Rain Dance, diwujudkan di Amerika Syarikat pada 1989 membabitkan tiga cabang angkatan tentera khas iaitu Tentera Darat, Unit Penyelidikan Khas Tentera Udara dan unit Perubatan Bio Tentera Laut Amerika.

Misi operasi hanya satu iaitu bagaimana untuk menghapuskan kaum tertentu tanpa menjejaskan kaum yang lain. Ia membabitkan kajian genetik dan mencari karektor sesuatu genetik bagi membolehkan sesuatu kaum diserang dengan sejenis penyakit.

Langkah itu bermotifkan usaha menghapuskan kaum tertentu kononnya dijangkiti wabak penyakit pelik yang belum pernah didengar sebelum ini. Usaha mencari penawar pasti mengambil masa dan mencetuskan suasana takut dan bimbang di seluruh dunia.

Jika wabak itu menular, penggantungan terhadap Amerika akan lebih terserlah berikutan kajian saintis yang kononnya menemui penawar penyakit misteri itu. Pada masa sama kaum yang dianggap menjadi ancaman, dapat dihapuskan tanpa disedari oleh masyarakat dunia, tanpa ada risiko menghadapi ancaman tindakan undang-undang.

Malah, pihak yang menyerang sebaliknya dipuji kerana menemui penawar penyakit itu.
Teori ini mungkin tidak masuk akal, tanpa ditampilkan bukti sewajarnya. Antara projek dalam operasi ini adalah projek Divisyen Makmal Khas LVNM. Ia terletak di sebuah lokasi terpencil di Las Vegas, New Mexico. Projek ini juga dikenali dengan kod nama SB-17.

Apa itu SB-17. Ia adalah sejenis virus yang hanya berfungsi ke atas genetik tertentu dan dalam kes ini, hanya penduduk pribumi Amerika atau lebih dikenali masyarakat dunia sebagai Red Indian.

Tikus gurun digunakan untuk menyebarkan virus ke dalam pekan dan bandar. Apabila virus itu tersebar menerusi najis haiwan itu yang mencemari air, virus itu akan menjadi bertindak sebagai bakteria yang akhirnya menular ke rantaian makanan.

Masih tidak yakin?. Ikuti laporan berita San Francisco Chronicle pada 30 April 1998 di muka surat A3. Laporan itu menyatakan pegawai kesihatan New Mexico mengesahkan kematian pertama seorang lelaki dari mukim San Juan dari kaum Indian Navaja yang semakin pupus akibat sejenis virus tidak diketahui.

Ia bermula dengan gejala deman biasa tetapi akhirnya membawa maut. Hanya kaum Indian saja yang meninggal dunia akibat penyakit itu. Dan, pastinya Rumah Putih bermegah kerana operasi itu berjaya. Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan yang tidak tahu menahu mengenai projek ini menggelarkan penyakit itu sebagai Hantavirus.

Ketika berucap pada satu majlis enam minggu sebelum wabak itu menular, presiden Amerika ketika itu, Bill Clinton membandingkan bencana alam El Nino mengakibatkan wabak penyakit yang berpunca daripada tikus dengan rawatan terhadap barah akibat merokok. 

Secara tiba-tiba saja dalam ucapannya, Clinton berkata penyakit bawaan tikus yang dibawa oleh angin boleh mengakibatkan beribu orang maut. Beliau menegaskan, kadar kematian mereka yang dijangkiti virus itu adalah 50 peratus.

Persoalannya mengapa beliau secara tiba-tiba membuat perbandingan sedemikian. Atau mungkin sebagai salah satu cara Clinton memberi amaran kepada dunia mengenai Operasi Tarian Hujan dan hanya Amerika yang mempunyai penawar penyakit baru misteri yang melanda.

Kisah mengenai operasi ini sebenarnya terbongkar selepas seorang perisik tentera laut Amerika mendedahkan perkara itu. Ia kemudiannya tersiar dalam Rumor Mill News pada September 1996, dua tahun sebelum pribumi Amerika diserang.

Malah, menurut sumber perisik tentera Amerika itu juga, wabak E-Coli turut dilakukan di makmal rahsia kerajaan Amerika di Ft Meade. Selain itu, ada juga laporan yang menyatakan wabak penyakit Aids dan HIV turut dicipta Amerika.

Jika laporan di atas masih belum dapat membuka pemikiran sepenuhnya, ikuti laporan yang dikeluarkan agensi berita arus perdana yang memetik laporan daripada London Times pada 15 November 1998.

Dalam laporan yang ditulis Uzi Mahnaimi dan Marie Colvin, akhbar itu menyatakan Israel merancang untuk membina bom etnik yang hanya mensasarkan warga Arab terutama dalam usaha menghapuskan rakyat Iraq dan Saddam Hussein serta membantu perjuangan mereka di Palestin.

Menurut laporan itu yang memetik sumber tentera dan perisik, Israel berusaha membangunkan senjata biologi yang hanya membunuh orang Arab dengan mengeksploit kemajuan perubatan.
Mereka mengenal pasti perbezaan gen orang Arab dan kemudian mencipta bakteria diubah suai secara genetik bagi membentuk virus.

Niatnya adalah dengan menggunakan kemampuan beberapa virus bagi mengubah DNA dalam sel hidup mereka. Saintis itu mereka sejenis mikro organisme maut yang menyerang hanya genetik yang sudah ditentukan saja.

Program itu dijalankan di institut biologi Nes Tziyona, yang menjalankan ujian sulit senjata kimia dan biologi. Pakar di situ menyatakan tugas mereka amat sukar kerana Arab dan Yahudi mempunyai cantuman salasilah.

Mereka berkata, mereka sudah berjaya mengesan ciri sesetengah genetik Arab terutama rakyat Iraq. Penyakit itu boleh disebarkan menerusi menyembur organisma itu ke udara atau memasukkannya ke dalam air.

Kajian perbandingan biologi yang dijalankan oleh pakar Afrika Selatan ketika era Apartheid.
Ketua makmal perang biologi dan kimia Afrika Selatan, Dr Daan Goosen berkata pasukannya diarahkan pada 1980-an untuk membangunkan senjata pigmentasi untuk menyerang hanya mereka yang berkulit hitam.

Beliau berkata, pasukannya membincangkan cara menyebarkan wabak penyakit menerusi arak, jagung atau menerusi pelalian tetapi gagal melaksanakannya.

Bagaimanapun, dalam laporan sulit Pentagon pada 1997 menyatakan ejen biologi boleh diubah suai secara genetik untuk menghasilkan senjata maut.

Setiausaha Pertahanan ketika itu, William Cohen, berkata beliau mendapat maklumat negara tertentu yang berjaya melakukannya. Pegawai kanan pula berkata, negara yang dikatakan Cohen itu adalah Israel.

Dalam majalah penerbitan Jane’s pula menyatakan, sumber Afrika Selatan melaporkan saintis Israel membangunkan peluru etnik terhadap warga Arab.

Laporan Times itu juga menyatakan Persatuan Perubatan Britain menyuarakan kebimbangan kewujudan bom etnik ini kerana ia hanya mensasarkan kaum tertentu.

Jurucakap persatuan itu, Dr Vivienne Nathanson, berkata disebabkan konflik dunia berpunca daripada faktor etnik, kewujudan senjata etnik ini amat membimbangkan.

Selepas meneliti laporan berkenaan dan menilai pelbagai penyakit misteri baru yang dihadapi dunia kini, realiti Operasi Tarian Hujan ini semakin terserlah. Kesemuanya mempunyai ciri sama tidak kira sama ada SB-17 atau Hantavirus, E-Coli, Aids, HIV dan mungkin juga SARS (Sindrom Pernafasan Teruk - yang melanda dunia kini).

Ini kerana wabak itu secara tiba-tiba muncul dan ahli sains menyatakan, sukar untuk menerima hakikat bahawa penyakit berkenaan muncul secara semula jadi. Selain itu, secara tiba-tiba, hanya Amerika dan sekutunya saja yang dapat menamakan penyakit itu dan menyediakan pakar untuk penawarnya.