Malaysia terap pengetahuan kembali maruah negara Islam 

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 2 Jun 2003, p.10)

IRAN mungkin bukan negara yang dipandang tinggi di kalangan 56 negara anggota lain dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Ia juga bukan negara yang diharapkan dapat menawarkan kepemimpinan bagi mengembalikan perpaduan dan maruah umat Islam dunia yang sudah lama hilang atau mengikis imej keganasan yang diberikan masyarakat dunia kini.

Perbezaan mazhab negara Parsi itu dengan majoriti negara anggota OIC lain, yang antara penyebab rosaknya perpaduan di kalangan umat Islam sejak lama dulu, tidak memungkinkan kepemimpinan Iran diterima negara anggota lain.

Negara Islam lain juga masih sangsi dengan Iran sejak revolusi yang dicetuskan Ayatollah Khomeni menumbangkan rejim Shah Iran pada 1979. Apakah Iran masih mahu mengeksport revolusi Islamnya itu ke negara mereka, sekali gus menggugat pemerintahan masing-masing?

Persoalan itu serta imej Iran pada pandangan politik dunia masa kini serta keadaan ekonominya yang lemah, menjadikan Iran sebagai negara yang tidak banyak bezanya dengan Iraq ketika peringkat akhir pemerintahan Saddam Hussein. Dunia, terutamanya kuasa besar, lebih mengagumi sumber minyak kedua-dua negara itu daripada kepemimpinan mereka. Malah, Iran juga dikatakan akan menerima nasib sama seperti Iraq.

Namun jika kandungan dan nada Deklarasi Tehran dijadikan kayu pengukur, Iran sebagai tuan rumah ICFM Ke-30 berjaya menjurus persidangan itu untuk mengukuhkan perpaduan negara Islam yang berada di tahap paling rendah ketika Iraq diserang Amerika Syarikat dan sekutunya - sekurang-kurangnya di atas dokumen rasmi yang dipersetujui 57 Menteri Luar OIC.

Deklarasi yang menggariskan 21 daripada 176 ketetapan persidangan yang bertemakan "Perpaduan dan Maruah Ummah" itu menolak kempen pembohongan serta ancaman terhadap negara Islam dan berikrar memberi sokongan kepada negara anggota yang menghadapi tekanan, ancaman dan campur tangan luar.

Menteri Luar OIC yang mengulangi iltizam memerangi keganasan juga menolak penggunaan kekerasan dan tindakan unilateral yang mengancam kedaulatan sesebuah negara serta membelakangkan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain mengutuk dasar ganas dan pendudukan berterusan Israel di Palestin serta wilayah Arab, mereka menggesa Amerika Syarikat, Russia, Kesatuan Eropah dan PBB, menerusi pelan damai "peta jalan", merealisasikan kesemua hak rakyat Palestin bagi penyelesaian yang adil dan berpanjangan di Asia Barat.

Mereka juga menuntut penghapusan menyeluruh semua senjata pemusnah dan menggesa semua negara, terutamanya negara kuasa nuklear, menekan Israel supaya menerima perjanjian perlucutan senjata dan meletakkan semua kemudahan nuklearnya di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Secara ringkasnya, setiap perenggan deklarasi itu lantang menyatakan pendirian dan mempertahan umat Islam di seluruh dunia yang diasak dan dihina, khususnya selepas peristiwa 11 September. Ia juga bertujuan mengikis palitan tuduhan yang mengaitkan Islam dan umatnya dengan keganasan, lebih-lebih lagi dengn siri serangan bom berani mati yang menggegarkan Riyadh dan Casablanca seminggu sebelum persidangan itu.

Apakah negara Islam kini sudah mengeratkan silaturahim dengan memberi sokongan kepada Iran yang sedang diancam Amerika, bagi mengelak satu lagi negara Islam daripada menjadi mangsa Washington selepas Iraq? Apakah ia sekadar retorik pada setiap kali persidangan yang dilakukan sebagai membuktikan keimanan masing-masing di depan hadirin saudara seagama?

Presiden Iran, Seyed Mohammad Khatami, dalam ucapan perasmiannya, meminta umat Islam menguji kekuatan iman masing-masing dalam menghadapi situasi politik dunia yang amat mencabar serta penuh dengan ketakutan, keganasan, diskriminasi, kemiskinan, dan peperangan.

"Apa yang membawa kita bersama pada zaman ketakutan dan harapan ini adalah Islam. Islam adalah asas kesepakatan dan perpaduan kita. Bagi kita, sebagaimana yang termaktub dalam kitab suci Al-Quran, Islam menyeru kepada umat yang bersatu," katanya.

Namun hakikatnya, seperti inti pati ucapan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang memaparkan keadaan ummah sekarang, agama saja bukan lagi faktor kukuh yang menyatukan negara Islam bagi menentang musuh demi kepentingan umat Islam.

Katanya, paksi kuasa dunia yang ada sekarang tidak memihak kepada umat dan negara Islam, manakala dinamik politik dunia juga sudah berubah kepada sesuatu yang menggugat perpaduan negara Islam. Senario ini membawa pelbagai implikasi dengan negara dan umat Islam kelihatan tidak lagi dihormati manakala prejudis dan pandangan negatif masyarakat bukan Islam semakin menebal.

Akibatnya, kata Syed Hamid, negara Islam kini mendapati adalah lebih mudah dari segi politik untuk menyokong pendirian negara bukan Islam daripada menyokong saudara Islam yang lain. Walaupun tidak menyatakan secara spesifik, kenyataan itu jelas ditujukan kepada negara Islam yang menyokong tindakan Amerika menyerang Iraq.

"Perpaduan umat Islam sudah hilang signifikannya," katanya yang menjelaskan bahawa tindakan membangkitkan perkara itu bukan untuk mengkritik umat Islam sendiri tetapi untuk menunjukkan betapa sukarnya keadaan yang dihadapi ummah.

Malaysia juga mengingatkan persidangan itu mengenai cubaan beberapa negara untuk mewujudkan perbezaan dan pergeseran di kalangan negara Islam dalam keadaan yang sensitif sekarang bagi kepentingan mereka. Keadaan ini memerlukan umat Islam di seluruh dunia sama-sama bertindak menghadapi cabaran itu.

"Mengambil iktibar daripada apa-apa juga pengajaran, adalah penting untuk kita memastikan suara kita bersama didengar dengan lantang dan jelas walaupun ia adalah satu-satunya tindakan yang boleh kita lakukan," katanya ketika berucap pada petang hari pertama persidangan itu.

Pandangan Malaysia itu dijadikan asas lidah pengarang Tehran Times keesokannya. Akhbar itu mengakui apa yang dinyatakan Malaysia mengenai keadaan umat Islam pada masa ini adalah tepat dan benar dan menggesa Menteri Luar OIC yang menghadiri persidangan itu supaya bertindak.

"Umat Islam perlu bersatu untuk menyelesaikan masalah ummah. Jika kita tidak bersatu, kita akan menjadi musuh kita sendiri yang paling dahsyat," kata lidah pengarang akhbar itu.

Malangnya keadaan musuh dalam selimut ini terus wujud dalam OIC seperti mana yang ditunjukkan beberapa negara anggota pada ICFM kali ini. Ketika anggota lain bersemangat menyeru kepada perpaduan dan bertindak supaya maruah umat Islam dapat ditebus, mereka pula berhujah sebaliknya.

"Mereka bercakap seolah-olah bagi pihak Uncle Sam," kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ahmad Fuzi Abdul Razak, melahirkan kekecewaan Malaysia mengenai sikap sebilangan negara Islam, sama seperti apa yang dinyatakan Syed Hamid dalam ucapannya itu.

Malaysia mempunyai tanggungjawab berat apabila menjadi Pengerusi OIC pada Sidang Kemuncak di Putrajaya pada Oktober depan.

Negara anggota OIC yang sebahagian besarnya miskin dan lemah, meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Malaysia untuk menerajui pertubuhan yang sudah lama diperlekeh sebagai tidak mampu melakukan apa-apa bagi membela umat Islam sepertimana kependekan OIC dipersendakan sebagai "Oh I see".

Negara terbabit sedar tidak banyak yang mereka dapat lakukan dalam menghadapi situasi dunia sekarang. Malah untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadak lagak dan tingkah laku Amerika, satu-satunya kuasa dunia paling hebat pada masa ini, adalah sesuatu yang teramat berat. Mereka kagum dengan kelantangan Malaysia menyatakan kebenaran walaupun tindakan itu bermakna negara terpaksa menghadapi risiko tindak balas negara hyperpower itu.

Risiko itulah yang kelihatan semakin hampir ditanggung Malaysia demi menyatakan kebenaran. Washington, menerusi dutanya di Kuala Lumpur, Marie T Huhtala, minggu lalu sudah mengingatkan Malaysia mengenai akibat kelantangan pemimpin negara mengkritik dasar luar Amerika, terutamanya berhubung serangan negara itu ke atas Iraq.

Washington bukan saja tidak senang dengan pengaruh Malaysia dalam OIC tetapi juga terhadap negara bukan Islam seperti mana yang ditunjukkan apabila Malaysia menerajui Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) mulai Februari lalu. Dr Mahathir bukan saja lantang mengkritik dasar Washington, tetapi menggesa dunia mengharamkan peperangan.

Bagi Washington, kelantangan suara Malaysia perlu dibendung. Jika lebih banyak negara bersuara senada dan selantang Malaysia, Amerika pastinya menghadapi masalah untuk terus berlagak sebagai sherif dunia, lebih-lebih lagi jika negara Arab yang kaya sumber minyak tersentak daripada lamunan masing-masing. Amerika takut akan perpaduan umat Islam.

Perpaduan inilah yang Malaysia akan cuba kembalikan pada Sidang Kemuncak di Putrajaya Oktober depan sebagai lanjutan kepada usaha yang dicetuskan di Tehran. Pada sidang kemuncak itu, Malaysia akan menerapkan aspek pengetahuan bagi membawa keluar negara Islam daripada belenggu kejumudan dan kemiskinan.

Bagi Malaysia, tanpa ilmu, perpaduan yang diharapkan OIC bagi mengembalikan maruah umat Islam tidak mungkin dapat dicapai dan ia akan kekal sebagai pertubuhan yang lebih banyak bercakap daripada bertindak.

"Kekuatan dalam bidang ilmulah yang akan menjanjikan masa depan dan kemajuan negara Islam. Negara Islam juga perlu menumpukan kepada tindakan dan kurang bercakap. Malaysia boleh memberikan kepimpinan sedemikian. Kita berharap dapat melaksanakan apa yang diharapkan negara OIC," kata Syed Hamid.

Harapan itulah yang perlu Malaysia penuhi. Negara bukan saja diberi tanggungjawab menyusun semula struktur Sekretariat OIC bagi memantapkan fungsinya, tetapi diminta memberi kepemimpinan yang kuat bagi menjadikan OIC pertubuhan yang berwibawa dan berkesan untuk mengembalikan maruah umat Islam.

Persoalannya, mampukah Malaysia melakukannya? Sesungguhnya, keupayaan Malaysia untuk merealisasikan impian ummah itu adalah lebih baik daripada Iran. Negara Melayu ini lebih berwibawa dan dihormati negara Islam lain berbanding negara Parsi yang lebih terkenal di mata dunia kerana sebab yang salah.

Namun, Malaysia tidak mungkin dapat melakukan seorang diri, setiap negara Islam lain perlu sama-sama berusaha mengembalikan perpaduan dan maruah umat Islam. Seperti kata Khatami dalam ucapan perasmiannya, sudah tiba masanya untuk "umat Islam menguji kekuatan iman masing-masing". - WHB