Make your own free website on Tripod.com

 

Natijah di sebalik serangan wabak viral encephalitis

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 03/05/1999 p.10)

BANYAK pihak tersentak apabila wabak viral encephalitis yang menyerang Perak pada Oktober lalu menular ke Negeri Sembilan. Wabak itu bukan hanya terhad kepada virus Japanese Encephalitis (JE) tetapi virus baru, Nipah, yang tidak diketahui ancaman sebenarnya sehingga mengundang kehadiran pakar asing termasuk dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Atlanta, Amerika Syarikat, untuk membantu memeranginya.

Daripada jumlah kes viral encephalitis yang dikesan dan menyebabkan kematian, sebanyak 89 kes disahkan disebabkan virus nipah, 54 kes disebabkan JE dan 11 kes lagi disebabkan kedua-dua virus berkenaan.

Dalam erti kata lain, kita bukan hanya berdepan dengan ancaman JE tetapi NE yang masih tidak diketahui tahap bahayanya. Lebih membimbangkan wabak ini dipercayai sudah meragut nyawa di Singapura, sekali gus menunjukkan wabak itu mampu tersebar jauh.

Malahan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas pertama kali mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Bagi Menangani Masalah JE, menyatakan wabak yang dihadapi sebagai satu kecemasan atau darurat.

Wabak viral encephalitis yang sudah meragut lebih 99 nyawa dan angka ini bukan saja mencetus persoalan berkaitan kesihatan tetapi juga sosial, ekonomi, politik dan agama.

Dari aspek kesihatan, ancaman viral encephalitis amat nyata sehingga kerajaan terpaksa mengerah pasukan keselamatan untuk memusnahkan ternakan babi di kawasan penularan wabak Bukit Pelandok, Kampung Sawah, dan Sungai Nipah bagi mengawal penularan wabak ke kawasan lain.

Lebih 2,300 anggota tentera dan polis yang lengkap dengan pakaian khas serta dibantu anggota pelbagai agensi kerajaan lain serta penggunaan helikopter dan jentera berat dalam operasi bersepadu yang agak asing dan terbesar seumpamanya di negara ini, seolah-olah negara dilanda bencana besar.

Tidak hairanlah jika ada pihak menyamakan perkembangan ini dengan keadaan yang digambarkan dalam filem Outbreak, dan bimbang sesuatu yang lebih buruk hanya menunggu detik untuk meletus.

Kegusaran rakyat mengenai ancaman ini mudah difahami dan patut diberi perhatian. Kerajaan yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menangani masalah itu ternyata telah dapat membendung penularan wabak itu.

Di peringkat awal ada keluarga penternak yang mempertikaikan usaha kerajaan sebelum ini sehingga menyebabkan kematian anggota keluarga mereka. Ramai yang menyalahkan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, berikutan kegagalan Jabatan Kesihatan mengesan ancaman virus baru itu.

Kelewatan mengesan viral encephalitis kali ini menyebabkan berlaku kesilapan strategi dalam membendung penularan wabak itu. Akibatnya, langkah bagi pengawalan penyakit JE seperti program suntikan vaksin dan penghapusan nyamuk culex tidak memberi hasil yang diharapkan kerana ia gagal membendung wabak baru yang dipercayai merebak melalui sentuhan cecair badan babi yang dijangkiti virus baru.

Malah, program suntikan vaksin JE terhadap babi terpaksa dihentikan serta-merta apabila dipercayai kaedah suntikan pantas menggunakan jarum yang sama untuk sejumlah babi boleh menyebarkan jangkitan virus baru itu.

Perkembangan ini memperlihatkan betapa tindakan tepat yang terancang perlu dilaksanakan bukan hanya selepas wabak menular tetapi sebelum ia meletus lagi. Dalam erti kata lain, ancaman kesihatan daripada kegiatan penternakan babi perlu dipandang berat. Malahan, industri itu sendiri perlu penilaian semula.

Sejak sekian lama, penternak babi, sama ada yang berlesen atau tidak, dibiarkan melanggar pelbagai peraturan keselamatan dan kesihatan sesuka hati. Mereka juga menolak usaha beberapa kerajaan negeri memusatkan kegiatan menternak babi dalam satu kawasan supaya ancaman kesihatan serta pencemaran alam sekitar dapat dikawal dan dikurangkan.

Maka tidak hairanlah jika Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sepatutnya berkuasa memastikan alam sekitar negara tidak terjejas hanya berkuasa sekadar melakukan kajian. Laporan kajian JAS Disember lalu menyebut 93 sungai di seluruh negara dicemari kumbahan domestik dan bahan buangan ternakan, khususnya babi.

Pihak berkuasa tempatan juga seolah-olah kehilangan kuasa dalam menangani perkara ini sedangkan pelbagai peraturan dan perundangan membabitkan industri ternakan babi sudah diwartakan bagi tujuan penguatkuasaan.

Dari segi sosial, wabak viral encephalitis memberi kesedaran betapa industri ternakan babi adalah satu ancaman kepada kesihatan rakyat. Ramai yang mula curiga dengan segala bentuk kegiatan itu, terutama ladang ternakan dan tempat penyembelihan haram.

Penduduk mula bangun menentang cadangan penempatan ladang ternakan babi berhampiran kawasan kediaman mereka, malah bakal pembeli juga menjadi faktor ini sebahagian daripada pertimbangan untuk pembelian hartanah. Hakikatnya, tiada siapa yang sanggup lagi tinggal berhampiran ladang ternakan babi.

Kesan buruk industri ternakan babi terhadap demografi di negara ini bukan perkara baru. Perkara ini sudah lama berlaku, malahan membabitkan perubahan komposisi etnik dalam kependudukan di kawasan yang dilanda wabak sekarang.

Mengapa tiada tindakan tegas diambil selama ini? Apakah kerana perkara ini dikategorikan sebagai isu yang sensitif? Jika benar, mengapa hanya sensitiviti satu pihak saja diberi pertimbangan?

Adakah soal ekonomi, eksport komoditi atau perolehan tukaran wang asing menjadi perkiraan dalam memberi sokongan kepada industri ini? Jika inilah alasannya, adakah kos yang terpaksa ditanggung negara terutama mereka yang langsung tidak beroleh hasil daripada kegiatan ini dimasukkan dalam pengiraan.

Amat malang jika sebahagian daripada faktor ekonomi dijadikan alasan untuk meneruskan kegiatan yang menyebabkan banyak keburukan sedangkan negara yang mengimport haiwan itu sendiri mengharamkan kegiatan ternakan kerana menyedari kos sebenar yang perlu ditanggung.

Negara sudah membelanjakan lebih RM49 juta sejak wabak JE mula dikesan akhir tahun lalu. Berjuta-juta ringgit lagi wang terpaksa dibelanjakan untuk menghadapi ancaman virus baru selain merawat mangsa di hospital. Ini tidak termasuk bantuan kewangan kepada penternak untuk setiap babi yang dimusnahkan.

Apa yang nyata, kerajaan perlu ada kesanggupan politik, perlu berani bertindak demi keselamatan umum, perlu mengambil langkah yang tegas walaupun mungkin mendapat bantahan atau dipolitikkan pihak tertentu.

Kerajaan perlu tegas dalam usaha menangani wabak ini seperti menanda zon penampan serta menutup ladang ternakan dan memusnahan babi yang menjadi punca wabak selain memastikan ia tidak akan berulang pada masa depan.

Soal pampasan perlu diputuskan dengan teliti kerana sudah pasti mereka yang tidak terbabit dalam industri itu atau mereka yang langsung tidak mendapat manfaat daripadanya membantah wang negara digunakan untuk tujuan itu.

Jika difikir secara logik, penternak yang sepatutnya dikenakan tindakan kerana melanggar segala peraturan yang ditetapkan selain menyebabkan penularan wabak sehingga mengorbankan banyak nyawa, bukan dibayar pampasan.

Lebih malang, ketika semua pihak berusaha keras menangani wabak viral encephalitis ada penternak yang menyeludup keluar babi yang sepatutnya dimusnahkan sehingga menyebabkan penularan wabak ke kawasan lain.

Kini, sudah kedengaran suara-suara yang mempersoalkan bantuan kewangan yang diberi kepada penternak untuk setiap babi yang dimusnahkan kerana bantuan serupa tidak diberikan kepada penternak yang lembu mereka dimusnahkan bagi membendung penyakit mulut dan kuku sebelum ini.

Untuk jangka panjang, kerajaan perlu membuat keputusan mengenai masa depan industri ternakan babi. Persoalannya ialah sama ada kita perlu memansuhkannya, mengehadkannya atau membiarkannya saja dan terus menghadapi risiko. Kita tentu tidak mahu Malaysia yang dianggap negara Islam contoh kekal sebagai pengeluar babi terbesar di Asia Tenggara.

Jika industri itu mahu diteruskan, kegiatan penternakan babi perlu dipusatkan di kawasan khas dan dijalankan secara teratur dengan menggunakan kaedah terkini yang mampu mengurangkan pencemaran. Kawasannya pula mestilah jauh dari kediaman manusia serta kawasan tadahan air.

Kecenderungan kerajaan negeri untuk melaksanakan cadangan sedemikian semakin jelas sejak akhir-akhir ini. Negeri Sembilan, umpamanya sudah mengumumkan cadangan pelaksanaan Kawasan Ternakan Babi (PFA).

Walaupun ini satu perkembangan yang memberangsangkan, namun konsep PFA masih kabur, apa lagi bila keputusan sedemikian dibuat hanya selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir, membayangkannya. WHB