Masa Depan, Perjuangan Keadilan Makin Kabur

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 15/03/2002 p.8)

PARTI Keadilan Nasional (Keadilan) akan tetap menafikannya dengan seribu satu alasan, namun keretakan besar dalam parti itu yang bakal menjadi belah tidak dapat lagi disorokkan. Lakonan kepemimpinan yang lantang mempertahankan keutuhan parti itu tidak lagi meyakinkan. Seorang demi seorang daripada kalangan pemimpin utama dan pengasasnya meninggalkan parti itu selepas kecewa dengan arah tuju perjuangan yang tidak menentu.

Terbaru, Pengerusi Keadilan Wilayah Persekutuan, Zainur Zakaria, membuat keputusan nekad melepaskan jawatannya selepas bersama parti itu sejak awal penubuhannya. Walaupun kepemimpinan parti menyatakan kesihatan dan keinginan memberi tumpuan terhadap kerjayanya adalah sebab beliau berbuat demikian, tidak boleh dinafikan bekas Naib Presiden Keadilan itu bertindak kerana perselisihan pendapat dengan beberapa pemimpin kanan parti itu.

Perselisihan ini jugalah yang membuatkan dua pemimpin utama Keadilan meninggalkan parti sebelum ini. Akhir tahun lalu, bekas Timbalan Presiden Keadilan, Dr Chandra Muzaffar, enggan mempertahankan jawatannya dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sebelum itu, bekas Naib Presiden Keadilan, Marina Yusoff, meninggalkan parti itu sebaik saja berakhir pilihan raya umum 1999 dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan.

Pengunduran Zainur daripada saf kepemimpinan Keadilan tentunya memberi tamparan hebat kepada parti itu, lebih-lebih lagi kerana beliau juga adalah antara peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim. Zainur bukan saja dilihat sebagai pemimpin harapan, tetapi juga sebagai orang kepercayaan Anwar yang pembebasannya daripada hukuman penjara adalah asas dan matlamat perjuangan Keadilan.

Tidak sukar untuk pemerhati politik meneka kenapa Zainur mengambil keputusan mengundurkan diri. Perbezaan pendapat serta ideologi perjuangan di kalangan pemimpin Keadilan bukan rahsia lagi. Keadilan sebenarnya sudah lama bergolak dan pemilihan pada November lalu adalah kemuncak kepada perebutan kuasa di kalangan puak yang berbeza dalam parti baru itu.

Kemelut kepemimpinan dalam Keadilan sudah lama dijangkakan. Sebagai parti yang ditubuhkan dengan matlamat menyelamatkan Anwar, Keadilan dianggotai oleh insan kecewa daripada kalangan penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri itu serta seteru Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, baik dari kalangan ahli Umno atau pertubuhan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tidak kurang yang menyertai Keadilan semata-mata mendapatkan kedudukan dan jawatan dengan cara mudah dan ada daripada kalangan badan bukan Melayu yang mengambil kesempatan melaksanakan agenda masing-masing daripada perpecahan yang melanda bangsa Melayu. Semua ramuan ini menjadikan Keadilan parti yang tiada perjuangan utuh, sebaliknya hanya menanti detik kehancuran apabila perpecahan tidak dapat lagi dibendung.

Justeru, tindakan Zainur itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Malah, lebih ramai lagi pemimpin parti itu dijangka berbuat demikian dengan sebab sama. Pengunduran mereka, walaupun cuba dinafikan kepemimpinan Keadilan, melemahkan kedudukan parti itu yang masih belajar bertatih dalam arena politik negara. Pengikut setia pemimpin terbabit sudah tentu mengikut langkah sama, manakala kalangan ahli biasa pula pastinya mula membuka mata dan menilai semula pembabitan mereka dalam Keadilan.

Hasrat Zainur mengundurkan diri daripada Keadilan sudah lama beliau nyatakan. Pada Oktober tahun lalu, Zainur mengumumkan beliau tidak berhasrat mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya pada pemilihan parti pada bulan berikutnya. Walaupun secara rasmi soal tumpuan kepada kerjaya dikatakan sebab pengundurannya, beliau sebenarnya kecewa dengan pergolakan dalam kepemimpinan Keadilan.

Biarpun beliau terus menerajui Keadilan Bahagian Lembah Pantai selepas dipujuk Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kenyataan Zainur mengenai kesanggupannya itu menceritakan apa yang cuba disembunyikan kepemimpinan parti, iaitu wujud krisis dalaman dalam Keadilan.

"Saya akan lihat perkembangan selanjutnya. Selepas seketika, anda perlu menilai semula pembabitan anda. Ada orang meneruskannya dan ada pula yang berhenti kerana pelbagai sebab," kata Zainur menjawab soalan wartawan pada masa itu.

Selepas lima bulan menahan perasaan, Zainur akhirnya melepaskan jawatannya dan sekadar menjadi ahli biasa. Walaupun alasan untuk menumpukan kepada kerjaya sekali lagi dinyatakan sebagai sebab pengunduran, sumber dalam Keadilan menyatakan Zainur berbuat demikian kerana sedar prinsip perjuangannya tidak lagi seiring dengan apa yang diamalkan oleh beberapa pemimpin kanan Keadilan.

"Ketika mula menyertai Keadilan, beliau menyangka parti itu dapat dijadikan wadah bagi membawa perubahan kepada satu senario politik baru yang benar-benar memperjuangkan keadilan untuk rakyat.

"Bagaimanapun apabila berada di dalam, beliau sedar idealisme perjuangan politik bersih yang diinginkannya tidak selari dengan apa yang diperjuangkan oleh segelintir pemimpin kanan Keadilan," kata sumber itu.

Tidak sukar untuk memahami perasaan Zainur yang hampa dan kecewa dengan kepalsuan perjuangan Keadilan. Selepas pemilihan parti pada 10 November tahun lalu, Keadilan dikuasai kalangan mereka yang terdiri daripada bekas ahli Umno selepas berjaya menewaskan cabaran kalangan bekas ahli Abim.

Zainur sedar perjuangan yang dibawa kumpulan ini bukan bagi keadilan untuk rakyat, tetapi untuk kepentingan diri sendiri selepas kehilangan jawatan, sama ada selepas disingkirkan atau bertindak keluar dari Umno. Walaupun Zainur pernah mengemukakan pandangannya terhadap fenomena yang berlaku dalam Keadilan kepada pucuk pimpinan parti, ia tidak membawa sebarang perubahan.

Persoalannya kini, apakah Zainur akan terus kekal sebagai ahli biasa Keadilan? Menurut sumber dalaman yang sama, Zainur akan meninggalkan terus Keadilan. Namun, kerana simpati kepada Wan Azizah yang tidak mengerti permainan politik orang di sekelilingnya serta tidak mahu dicop sebagai pembelot, Zainur menangguhkan hasrat itu.

Tindakan Zainur itu adalah satu pengorbanan, lebih-lebih lagi ketika Keadilan terus bermimpi untuk menang dalam pilihan raya kecil selepas tewas beberapa kali sebelum ini, termasuk pilihan raya kecil DUN Indera Kayangan di Perlis, baru-baru ini.

Kekecewaan yang sama juga dihadapi Chandra tidak lama dulu. Walaupun beliau menyandang jawatan nombor dua parti sejak Keadilan ditubuhkan tiga tahun lalu, Chandra tidak dapat berbuat apa-apa bagi memastikan perjuangan parti mengikut lunas demokrasi dan keadilan untuk rakyat seperti mana yang dicanangkan kepada rakyat.

Chandra yang lama menerajui Aliran, Just World Trust dan Pusat Pengajian Peradaban di Universiti Malaya, mempunyai idealisme politik yang berbeza daripada ahli politik yang meninggalkan Umno untuk menyertai Keadilan. Bekas Timbalan Presiden Keadilan itu mahukan Keadilan mengikut arah perjuangan yang bukan saja janggal bagi pemimpin lain, malah dianggap satu utopia yang tidak mungkin dicapai.

Chandra mahukan politik yang bersih berdasarkan lunas demokrasi, tetapi pihak yang menentangnya mahu politik kasar yang berasaskan demonstrasi jalanan. Chandra mahukan perubahan politik negara sebagai wadah perjuangan Keadilan tetapi puak yang satu lagi tegar bahawa pembebasan Anwar adalah segala-galanya.

Akibat perbezaan idealisme yang ketara ini, pandangan Chandra tidak lagi diterima seperti dulu, malah beliau dilihat sebagai pembelot kepada Anwar. Malah, pada satu ketika, pengendali laman web pro reformasi yang selama ini menjadi suara perjuangan Keadilan bertindak menutup laman masing- masing sebagai bantahan kepada apa yang dikatakan pembelotan terhadap perjuangan Anwar yang berlaku dalam parti itu. Tekanan demi tekanan dihalakan kepada Chandra sehingga beliau akhirnya mengalah Disember lalu.

Pengunduran Marina selepas pilihan raya umum pada 1999 pula jelas menunjukkan persengketaan kepemimpinan sudah wujud sejak awal penubuhan Keadilan. Bukan rahsia lagi bahawa Marina tidak sehaluan dengan Chandra. Surat Marina kepada Chandra bertarikh 13 Januari 2000 disebarkan kepada umum pada Jun 2000 menceritakan segala-galanya.

Bekas Naib Presiden Keadilan itu menuduh Chandra cuba mengongkong parti dan mahu pemimpin lain menerima pandangannya belaka selain mentadbir Keadilan sebagai NGO. Bagaimanapun, Chandra menjawab dan mendakwa Marina yang memutarbelitkan peristiwa percubaan beliau dan konco-konco untuk menggantikan Dr Wan Azizah sebagai presiden parti dengan Anwar.

Peristiwa itu menunjukkan betapa kemelut kepemimpinan dalam Keadilan tidak berkesudahan. Jika presiden sendiri cuba disingkirkan, pastinya akan ada lagi pemimpin yang akan tersingkir seperti mana yang berlaku kepada kalangan bekas ahli Abim yang tewas pada pemilihan parti November lalu.

Mereka yang terbabit seperti Dr Mohamed Nur Manuty, bekas Setiausaha Agung Keadilan, Anuar Tahir dan Mustafa Kamil Ayub sudah tawar hati untuk meneruskan perjuangan bersama kalangan bekas ahli Umno yang berkuasa dalam Keadilan. Kumpulan ini dikatakan tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk segelintir pemimpin kanan parti daripada bekas ahli Umno kerana menggunakan politik wang bagi meraih sokongan.

Malah, kekalahan Keadilan pada pilihan raya kecil DUN Indera Kayangan juga dikaitkan dengan persengketaan dua kumpulan ini. Penolakan Anuar sebagai calon Keadilan oleh kepemimpinan yang memilih calon berbangsa Cina, Khoo Yang Chong, dikatakan menyebabkan kumpulan bekas ahli Abim itu kecewa dan bertindak supaya Keadilan tewas.

Namun, apa yang sebenarnya berlaku ialah rakyat tidak lagi percaya dengan perjuangan Keadilan. Mereka mula sedar bahawa perjuangan Keadilan adalah palsu. Faktor Anwar yang sentiasa dijadikan modal politik Keadilan tidak lagi mampu menarik sokongan. Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Keadilan, lebih-lebih lagi apabila Naib Presidennya, Azmin Ali, terus gagal mengotakan janjinya sejak pilihan raya umum lalu untuk mendedahkan dokumen daripada `kotak rahsia' yang didakwa dimilikinya.

Seperti ulasan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mengenai kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Indera Kayangan, rakyat mula sedar dan kembali menyokong BN sebagai parti yang boleh mendatangkan faedah.

"Rakyat sedar mereka tidak harus membazir undi kerana rasa marah terhadap sesuatu tanpa sebab. Rakyat berfikiran matang dan kembali menyokong BN sebagai parti yang boleh memberi layanan kepada mereka dan menunaikan janjinya.

"Sekarang ini adalah politik mengenai kehidupan bahagia. Bagi rakyat, yang penting adalah pembangunan negara, keamanan, bukan hendak main isu orang itu kena aniaya," katanya.

Tanpa kepemimpinan yang bersatu serta ideologi perjuangan yang mantap, masa depan Keadilan jelas semakin kabur. Rakyat bukan sekadar menolak parti itu pada beberapa pilihan raya kecil, malah pada pilihan raya negeri Sarawak lalu yang menyaksikan Keadilan kalah teruk dalam percubaannya mencari sokongan rakyat di sebelah sana hingga terpaksa menabur janji mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua khusus untuk Sarawak dan Sabah sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Mungkin sudah tiba masanya bagi Wan Azizah menghentikan semua sandiwara yang dimainkan Keadilan dan memberi tumpuan kepada keluarganya sementara menanti Anwar selesai menjalani hukuman penjara daripada terus diperalatkan pemimpin Keadilan lain di sekelilingnya.

Wan Azizah tentu sedar bahawa beliau sebenarnya tidak berkuasa dalam Keadilan tetapi menurut saja permainan politik pemimpin lain. Apakah beliau sebagai Presiden Keadilan sekadar berpuas hati membaca kenyataan yang disediakan pada sidang media saja?

Mungkin juga Wan Azizah wajar menilai pengunduran Zainur sendiri. Mengapa peguam bela suami beliau sanggup melepaskan jawatan parti sedangkan beliau pastinya mempunyai kelebihan sebagai pemimpin Keadilan untuk memperjuangkan nasib Anwar? Apakah pengunduran Zainur dan Chandra, dua individu yang dilihat bersih daripada kekotoran permainan politik, sudah hilang kepercayaan kepada Anwar? WHB