Penyelarasan pengurusan pertingkat fungsi masjid

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 01/05/2000 p.4)

SEPERKARA yang menarik pada Multaqa Pertubuhan-pertubuhan Amal Islam Malaysia yang pertama diadakan kelmarin adalah pembentangan kertas kerja bertajuk `Masjid Sebagai Pangkalan Pergerakan Amal Islam' oleh Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mohd Nakhaie Ahmad.

Idea yang diutarakannya memberi jawapan kepada persoalan yang berbangkit berhubung cadangan dan gesaan supaya fungsi masjid diperluaskan. Sekurang-kurangnya, cadangan itu membuka minda dan memberi harapan kepada masyarakat Islam untuk meletakkan kembali institusi masjid di tempat sewajarnya.

Dalam kertas kerjanya itu, Mohd Nakhaie bukan saja menggariskan fungsi yang sepatutnya dimainkan oleh masjid tetapi mencadang penstrukturan semula aspek pentadbiran serta penggemblengan sumber kewangan ummah bagi membiayai fungsi masjid yang diperluaskan.

Ramai hadirin daripada 80 pertubuhan amal Islam di seluruh negara mungkin terperanjat apabila Mohd Nakhaie mencadangkan penyusunan semula pentadbiran masjid dengan ketua imam bertindak selaku ketua pegawai eksekutif yang dibantu pengarah, timbalan pengarah serta pegawai daripada unit yang akan ditubuhkan sejajar dengan fungsi baru masjid.

Bagi beliau, perubahan ini perlu seandainya fungsi masjid ingin diperluaskan sebagai pusat pembangunan sosio-budaya, dakwah, pengaduan dan khidmat nasihat, dan pengajian yang memenuhi keperluan semasa masyarakat Islam.

Katanya, pegawai masjid tidak lagi boleh terhad kepada jawatan tradisional seperti imam, bilal dan siak yang hanya berperanan dalam ibadat solat. Masjid sebagai pangkalan pergerakan amal Islam memerlukan pegawai sepenuh masa yang pakar dalam pelbagai bidang termasuk kaunseling, ekonomi dan kewangan.

"Pegawai dan kakitangan masjid yang bertugas sepenuh masa akan memberikan tumpuan kepada kegiatan masjid yang lebih maju dan terkeluar daripada kongkongan tradisional yang menyempitkan kegiatan masjid kepada ibadah ritual saja.

"Mereka hendaklah daripada orang yang berkelayakan dalam bidang masing-masing. Bukankah kita sudah diperingatkan Rasulullah - `Jika dipertanggungjawabkan sesuatu tugas bukan kepada ahlinya, nantilah kehancurannya'," katanya.

Keperluan pentadbiran masjid yang cekap ini diakui sendiri pentadbir masjid pada Persidangan Imam-imam Besar Masjid Negeri Khamis lalu. Mereka meminta kerajaan mengambil alih pentadbiran institusi itu bagi memastikan pengurusan masjid lebih sistematik dan mampu memainkan peranan lebih luas.

Mereka setuju semua kakitangan masjid perlu dilantik dan dilatih sebagai kakitangan tetap kerajaan yang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan institusi itu.

Pada masa ini hanya Masjid Negara dan masjid negeri mempunyai sistem pentadbiran dan pengurusan sistematik dengan pegawai tetap, manakala pengurusan masjid lain dikendalikan pegawai masjid tidak tetap yang diberi elaun khas tidak seberapa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman, pada sidang akhbar selepas perasmian multaqa itu, berkata kerajaan Pusat akan terus berusaha menyelaraskan pengurusan masjid di seluruh negara bagi mempertingkatkan aspek pentadbiran institusi itu.

Katanya, pelaksanaan skim perkhidmatan bersama kakitangan agama akan diperluaskan ke masjid daerah di setiap negeri secara berperingkat. Pada masa ini Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka sudah menyertai skim itu.

Menerusi skim itu, kakitangan terbabit adalah pegawai tetap kerajaan yang berkhidmat di bawah Jabatan Perdana Menteri. Mereka menerima gaji tetap dan imbuhan lain yang sama dengan kakitangan awam lain.

Bagaimanapun, pelaksanaan skim ini terhad kepada peruntukan kewangan kerajaan. Faktor ini tidak memungkinkan skim itu dilaksanakan di setiap masjid seperti sepatutnya bagi mempertingkatkan fungsi institusi itu.

Bagi memecah kebuntuan ini, Mohd Nakhaie mencadangkan umat Islam menggembleng sumber kewangan mereka yang besar tetapi selama ini tersembunyi bagi membiayai fungsi masjid yang lebih luas.

Katanya, masjid di seluruh negara dianggarkan memiliki dana tidak kurang daripada RM50 juta dan ini tidak termasuk aset dan harta wakaf. Jika setiap daripada 8,000 masjid di negara ini mempunyai tabungan berjumlah RM1,000, keupayaan kewangan terkumpul ialah RM8 juta.

"Tetapi sumber kekayaan ini tidak digembleng dengan sewajarnya. Perbendaharaan yang terkunci ini tidak dibuka dengan anak kunci kebijaksanaan dan kemurnian jiwa yang dipenuhi keikhlasan dan kejujuran," katanya.

Mohd Nakhaie berkata, sumber kewangan juga boleh diperoleh serta diperkembangkan dengan melaksanakan skim pelaburan Amanah Saham Ummah yang perlu disertai pertubuhan amal Islam, syarikat, yayasan masjid dan ahli masing-masing.

Katanya, penubuhan skim pelaburan itu mampu melahirkan satu lagi dana raksasa masyarakat Islam untuk dimanfaatkan sepenuhnya institusi masjid.

"Hanya kesedaran, keberanian, kesungguhan dan perpaduan saja yang mampu menjayakan hasrat ini dengan izin Allah" katanya.

Apa yang dicadangkan Mohd Nakhaie wajar diberi perhatian. Kita tidak seharusnya bercakap mengenai perluasan fungsi masjid tanpa memikirkan kaedah dan cara untuk melaksanakannya. Janganlah dibiarkan niat untuk memartabatkan kembali institusi masjid menjadi retorika sehingga keadaan ini dipergunakan pihak tertentu untuk menjadikan masjid medan politik jumud mereka.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, pada majlis makan tengah hari dengan pemimpin 80 pertubuhan Islam sempena multaqa itu, semua pertubuhan amal Islam wajar mencari kesepakatan dalam perjuangan yang sama bagi memajukan umat Islam serta mengembalikan zaman kegemilangan Islam.

"Semua kita bercakap mengenai Tamadun Islam yang lama dan maju ini dengan nostalgia dan timbul keinginan kita untuk mencapai sekali lagi tahap ini kemajuan tamadun Islam.

"Kita semua berniat untuk mencapai kecemerlangan ini tetapi sehingga sekarang kita belum mencapainya," katanya. WHB