Atlit sukan lasak berlepas ke Utah

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 09/10/2000 p.28)

SEMBILAN anggota daripada tiga pasukan negara ke Marlboro Adventure Team (MAT) Asia 2000 sudah bersedia membawa cabaran Malaysia pada acara kembara dan sukan lasak selama tujuh hari di Moab, Utah, Amerika Syarikat, bermula Khamis ini.

Mereka ialah Mohd Mustafa Kamal Ismail, Mohamad Norli Abdul Aziz dan Hishamudin Samsuri dari pasukan Kudrat; Amran Embong, Samsul Arnuar Ali dan Saiful Bahri Shamsudin (Red Tear); dan Muhammad Jailani Din, Nordin Salleh dan Mohamad Latpi Samsudin (PMNP Team).

Semua peserta negara berazam membuktikan bahawa rakyat dan pasukan adalah setanding jika tidak lebih baik daripada pasukan negara lain dalam sukan lasak itu.

“Kami sudah bersedia menghadapi cabaran yang menanti di sana,” kata mereka dengan bersemangat selepas majlis penghantaran pergi dan penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan MAT 2000 anjuran Marlboro World Of Sports.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Pemasaran Marlboro World of Sport, C K Lau yang turut menyampaikan Jalur Gemilang. Pasukan negara akan berlepas ke Utah hari ini.

Ketiga-tiga pasukan itu memperolehi peluang beraksi di Moab selepas mengetepikan 63 pasukan lain untuk merebut tiga tempat teratas dalam dua pusingan MAT 2000 yang dilangsungkan di Sungkai, Perak pada Ogos dan September lalu.

Dalam saingan itu, Kudrat dari Perak menduduki tempat pertama diikuti Red Tear dari Terengganu di tempat kedua dan PMNP Team juga dari Perak di tempat ketiga.

Di Moab, pasukan negara akan diiringi tiga pasukan lain dari Filipina - satu lagi negara Asia yang layak menguji kemampuan mereka dalam kembara dan sukan lasak di kawasan yang dianggap paling mencabar di dunia.

Peserta akan dinilai dari segi kemahiran dan semangat berpasukan dalam pelbagai sukan lasak seperti memandu jip, menunggang kuda, memanjat dan menuruni bukit batu dengan tali, bermotosikal lasak dan berakit.

Sementara itu, mekanik Penerbangan Malaysia (MAS), Mohd Feroz Chek Dollah, 24, dari Selangor mengetepikan ribuan peserta lain dalam peraduan MAT 2000 untuk memenangi kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger XLT bernilai RM75,000.

Slogan ‘Peluang menguji keupayaan dan stamina dalam pelbagai arena kembaraan melalui kerjasama dan semangat berpasukan’ memisahkan Mohd Feroz daripada peserta lain, yang turut berjaya memadankan peta dengan aksi sukan lasak dengan betul.

Sepuluh pemenang lain menerima hadiah saguhati iaitu Koleksi Kelengkapan MAT 2000 bernilai RM250. Hadiah disampaikan oleh Lau.

(END)