Berada pada hari yang sama selepas 24 jam perjalanan

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 11/10/2000 p.10)

SALAM sejahtera. Kata orang jauh perjalanan, luas pengalaman. Pengalaman pula selalunya agak luar daripada kebiasaannya, lebih-lebih lagi jika perjalanan itu merentasi lebih separuh daripada lilitan bumi dan destinasi yang kurang diketahui umum. Banyak perkara yang baru dan juga yang pelik akan dialami. 

Walaupun tidak seganjil pelayaran Sinbad, faktor geografi sudah cukup untuk membuatkan kita terfikir sejenak - mengapa kita berada pada hari yang sama selepas kira-kira 24 jam perjalanan.

Tahun ini, wakil Berita Harian diberi penghormatan untuk mengikuti pengembaraan tiga pasukan Marlboro Adventure Team (MAT) negara ke Moab, Utah, Amerika Syarikat. Pengembaraan itu adalah hadiah kepada sembilan ahli tiga pasukan itu yang berjaya menduduki tiga tempat teratas dalam persaingan akhir MAT 2000 di Kem Nur Nikman, Sungkai, Perak, bulan lalu.

Pasukan berkenaan ialah Kudrat yang dianggotai Mohd Mustafa Kamal Ismail, Mohammad Norli Abdul Aziz dan Hishamudin Samsuri; Red Tear yang disertai Amran Embong, Samsul Arnuar Ali dan Saiful Bahri Shamsudin; dan PMNP Team yang dianggotai Mohd Jailani Din, Nordin Salleh dan Mohd Latpi Samsudin.

Maka pada pagi Isnin, saya bersama dua pegawai pengiring dan sembilan anggota pasukan berkenaan berlepas ke Los Angeles dari Lapangangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS)
untuk membawa cabaran Malaysia ke Moab.

Kami dikehendaki berkumpul seawal jam 7 pagi di kaunter check-in di KLIA memandangkan penerbangan kami dijadualkan pada jam 9 pagi.

Ditambah dengan masa perjalanan dari Klang ke KLIA, pengembaraan penulis sebenarnya bermula pada jam 6 pagi. Selepas selesai check-in, kami beransur untuk ke terminal penerbangan antarabangsa.

Bagaimanapun, kami mengalami sedikit masalah ketika di kaunter pemeriksaan imigresen. Satu daripada dua mesin untuk `membaca' pasport MRP (machine readable passport) yang disediakan tidak berfungsi dengan baik. Ia gagal membaca dan seterusnya merekodkan perjalanan keluar pemegang pasport - lebih-lebih lagi apabila ada yang meletakkan pasport lama. Tetapi saya dengan pasport yang baru berusia sebulan, tidak menghadapi masalah.

Penerbangan MH92 itu cuma berlepas pada 9.30 pagi dan tiba di Tokyo tujuh jam kemudian. Waktu di Tokyo ialah 5.30 petang, sejam lebih awal dari waktu Malaysia tetapi jelas sudah di akhir waktu Maghrib.

Kami terkilan kerana tidak sempat menjamak solat Zohor dan Asar ketika penerbangan berhenti sejam sebelum meneruskan perjalanan ke Los Angeles. Lebih-lebih lagi apabila niat sentiasa terpasang di hati setiap kali paparan pesawat menunjukkan arah Kiblat bersama maklumat penerbangan dan waktu tempatan serta destinasi.

Penerbangan kami berlepas semula pada jam 6.50 petang waktu Tokyo iaitu bersamaan jam 5.50 petang waktu Malaysia. Tempoh kali ini lebih panjang dan memeritkan. Penumpang disajikan makan malam dan selepas itu masing-masing cuba melelapkan mata. Tetapi ia tidak semudah yang dijangkakan.

Walaupun kami memang keletihan, tetapi keadaan kelas ekonomi pesawat Boeing 747-400 bukan sesuatu yang mampu melenakan. Bagaimanapun, kami terlelap juga akhirnya.

Tidak sampai tiga jam kemudian, kami dikejutkan oleh anak kapal yang sedang menyediakan sarapan. "Apa, sarapan pada 12 tengah malam waktu Malaysia?" soal saya. Ketika itu pesawat melalui Lautan Pasifik menuju ke Pantai Barat Amerika Syarikat. Waktu tempatan bukan saja menjadi semakin awal, malah tarikhnya juga tidak berubah apabila merentasi Garisan Tarikh Antarabangsa di tengah lautan itu dari arah Barat.

Akhirnya, kami tiba di Los Angeles pada jam 12 tengah hari, Isnin, 9 Oktober 2000, iaitu bersamaan jam tiga pagi, Selasa, 10 Oktober, 2000, waktu Malaysia. Apa yang nyata, belum pun masuk waktu Zohor di bandar raya Amerika Syarikat ini.

Penulis pun mengutarakan persoalan ini kepada rakan yang lain. "Apakah kita sudah terlepas waktu Zohor dan Asar untuk hari Isnin?" Tiada jawapan.

Kemudian kami mengambil penerbangan domestik ke Salt Lake City, ibu kota Utah. Penerbangan berlepas pada jam 3.30 petang dan mengambil masa hanya lebih sejam. Bagaimanapun, kami tiba pada jam 5.45 petang kerana perbezaan waktu tempatan.

 Selepas itu, kami menaiki bas ke hotel. Keadaan bas ini adalah jauh lebih selesa dari bangku pesawat Boeing 737 milik Delta. Kami tiba di hotel pada jam 6.30 petang, hari Isnin iaitu bersamaan jam 8.30 pagi, hari Selasa di Malaysia.

Hakikatnya, selepas lebih 24 jam berlalu dan lebih separuh mengelilingi dunia, kami masih berada pada hari yang sama.

Selepas menikmati ikan Trout panggang untuk makan malam, kami bersiar seketika untuk menikmati kedinginan malam Salt Lake City. Pelik, bandaraya ini hampir sunyi bagaikan tiada berpenghuni walaupun jam belum 10 malam.
                             

(END)