Salt Lake bukan syurga pelancong

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 12/10/2000 p.10)

SALAM sejahtera. Sesuatu yang menarik mengenai pengembaraan ialah keletihan yang dirasai mudah hilang. Keinginan untuk mengalami kehidupan yang belum pernah dilalui sebelum ini menghilangkan segala kepenatan, walaupun tidak meredakan kerinduan kepada mereka yang tersayang.

Percayalah kerana saya hanya sempat tidur selama tiga jam selepas lebih sehari bersengkang mata melalui perjalanan ke Salt Lake City dan menyiapkan laporan untuk dihantar ke pejabat di Kuala Lumpur.

Seperti yang dijanjikan, kesemua 12 anggota delegasi Marlboro Adventure Team (MAT) negara turun dari bilik masing-masing untuk bersarapan pagi tepat jam 8 pagi atau jam 10 malam waktu Malaysia.

Sejurus selepas sarapan, kami menuju ke pusat beli belah yang bersambung dengan hotel tempat kami menginap untuk mendapatkan keperluan dan kelengkapan tambahan untuk ke Moab esok. Cuaca di sini pula semakin sejuk dan hujan.

Hari kedua kami di Salt Lake City juga adalah peluang terakhir untuk kami membeli buah tangan kerana selepas tamat program kembara di Moab, kami akan terus mengambil penerbangan untuk pulang ke tanah air.

Malangnya, kedai di pusat membeli belah itu - satu daripada hanya dua di tengah bandaraya ini - masih belum dibuka walaupun waktu sudah menjangkau lebih sembilan pagi. Keadaan masih sepi, tidak banyak kelibat manusia yang dapat dilihat.

Keadaan hanya sedikit berbeza di luar. Tidak ramai warga bandaraya ini yang kelihatan, begitu juga jumlah kenderaan di jalan raya. Salt Lake City sememangnya bandaraya yang lengang.

Keadaan ini tidak menghairankan kerana pengaruh kumpulan Mormons yang mengasaskan ibu negeri Utah ini pada tahun 1847 masih membara. Malah, Salt Lake City lebih dikenali sebagai ibu pejabat Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints. Lambang Mormonisme seperti Temple Square dan Brigham Young's Beehive House terus kekal dan terus menjadi daya penarik utama pelancong.

Berbeza dengan ibu kota negeri lain di Amerika Syarikat, di pusat bandaraya ini tidak ada kegiatan hiburan terutamanya yang berunsur lucah. Malah, makalah bercorak sedemikian langsung tidak kelihatan. Yang ada hanyalah barisan hotel serta bangunan bank dan pejabat. Maka tidak hairanlah bandaraya ini mulai sepi selepas jam sembilan malam apabila pusat membeli belah menghentikan perniagaan.

Melihatkan tiada tanda-tanda kedai di pusat beli belah itu akan dibuka, kami mengambil keputusan untuk pergi ke sebuah pusat beli belah kecil di pinggiran bandaraya ini iaitu di Sandy dengan harapan kedai di sana akan dibuka apabila kami tiba.

Ini juga adalah peluang untuk kami mencuba sistem pengangkutan awam yang dikenali sebagai Rel Ringan Trax, iaitu sistem rel di atas jalan raya. Berbeza dengan perkhidmatan trem, tren yang digunakan adalah sama dengan sistem Transit Aliran Ringan (LRT). Seperkara yang menarik mengenai sistem ini ialah laluan kedua-dua hala dan perhentiannya dibina di tengah jalan raya, seolah-olah menjadi pembahagi jalan.

Tambang perkhidmatan ini hanya AS$1 untuk satu perjalanan dan penumpang boleh menggunakan tiket yang sama untuk menaiki bas perantara di stesen di luar pusat bandaraya. Tiada perkhidmatan bas awam di sekitar pusat bandar Salt Lake City. Mereka yang berkereta ke stesen pula disediakan tempat letak kereta percuma.

Apa yang nyata, sistem pengangkutan yang dikendalikan Utah Transit Authority (UTA) ini mendapat sambutan ramai. Ia bukan saja murah, tetapi juga cekap dan mudah. UTA juga sedang membina laluan baru bagi menyambung sistem sedia ada ke lapangan terbang Salt Lake City, sejajar dengan pembangunan lain yang sedang dilaksanakan sebagai persiapan menjadi tuan rumah temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk pada tahun 2002.

Walaupun pusat bandaraya ini tidak sibuk, lapangan terbangnya tidak henti-henti menerima penerbangan masuk dari seluruh Amerika. Adakalanya lima pesawat terpaksa menunggu giliran untuk mendarat pada sesuatu masa. Ini adalah kerana Salt Lake City menjadi pintu masuk ke banyak kawasan kembara dan sukan lasak yang terdapat di Utah seperti Moab, tempat di mana kami serta 12 lagi anggota pasukan MAT Filipina akan menunjuk kebolehan masing-masing mulai esok.

Sekali lagi kami hampa apabila mendapati pusat membeli belah itu juga masih belum dibuka. Untuk tidak membuang masa selama sejam menunggu kedai di situ dibuka pada jam 10.30 pagi, kami pulang ke pusat membeli belah yang pertama serta dan juga ke satu lagi pusat membeli belah yang terletak bertentangan dengannya.

Kami menghabiskan sebahagian besar masa sementara menanti sesi suai kenal dengan pasukan MAT dari Filipina yang dijadualkan tiba petang ini, di dalam pusat membeli belah tersebut memandangkan cuaca di luar semakin sejuk dan hujan juga bertambah lebat. Pasukan negara tetangga Malaysia itu, bagaimanapun, hanya tiba pada jam 8 malam kerana kelewatan penerbangan.

Sekali lagi kami berkejar ke sebuah gedung peralatan kembara di pinggir bandaraya ini apabila rakan pasukan Filipina pula perlu mendapatkan peralatan. Selepas itu semua kembali ke bilik masing-masing kerana perjalanan ke Moab dijadualkan pada tujuh pagi esok.

Walaupun sepanjang hari kami berada di pusat membeli belah, tidak banyak barangan yang dibeli kerana harga yang tinggi selain pilihan yang terhad. Berbanding bandaraya lain di Amerika, Salt Lake City bukan "syurga" untuk membeli belah atau untuk berhibur.

Jika direnung kembali dan dibuat perbandingan, Kuala Lumpur sememangnya jauh lebih hebat daripada Salt Lake City dalam hal sebegitu. Hakikat yang sesungguhnya sukar diterima. Mungkin juga ini adalah kerana pengasas ibukota  kita tidak seperti pengasas bandaraya Amerika ini.

(END)