Pengalaman menarik makan ala koboi

By Wan Hazmir Bakar

(BH 13/10/2000 p.10)

"WELCOME TO MOAB", itulah diucapkan petugas International Adventure Tours
Inc ketika menyambut ketibaan kami di bandar rekreasi dan sukan lasak di Utah, Amerika Syarikat, tengah hari tadi. (Rabu, Oktober 13, 2000).

Rombongan Marlboro Adventure Team (MAT) Malaysia dan Filipina disambut penuh mesra. Selepas diperkenalkan kepada petugas terbabit, kami dijamu makan tengah hari ala koboi. Tukang masak akan membunyikan loceng tiga segi sebagai tanda hidangan siap untuk dimakan.

Sebelum itu, kami diajar cara membasuh pinggan serta kole tin yang akan digunakan setiap kali menjamu selera. Kaedah pencucian itu membabitkan pembersihan sisa makanan dan diikuti pembasuhan dengan air sabun yang panas sebelum dibilas air peluntur dan akhir sekali air bersih.

Walaupun pengalaman makan ala koboi amat menarik kepada kami, ia tidak sehebat pengalaman bermain salji ketika dalam perjalanan ke Moab dari Salt Lake City. Seperti dinyatakan semalam, cuaca di Utah semakin sejuk, berikutan perubahan iklim mendadak dan keadaan itu diramalkan berterusan sehingga Jumaat.

Pemandangan sepanjang hampir lima jam perjalanan kami ke Moab dengan bas yang disewa khas itu sungguh mengagumkan. Kami terpesona keindahan pepohon dengan daun warna-warni yang menghiasi permukaan berbukit kawasan yang dilalui pada awal perjalanan - fenomena indah di musim luruh.

Namun, sebaik saja bas melalui kawasan diliputi salji, kesemua 20 anggota MAT negara dan Filipina sibuk mengambil gambar sebagai kenangan, biarpun hanya dari dalam bas. Seperti mengetahui hasrat kami, pemandu bas berhenti di bahu jalan. Apa lagi, kami bergegas turun menikmati salji yang tidak pernah dialami di negara sendiri.

Tiba-tiba saja kawasan itu menjadi seolah-olah kawasan penggambaran. Masing-masing sibuk merakamkan detik bersejarah itu dengan pelbagai aksi melucukan termasuk bergambar tanpa memakai baju. Ada juga berlawan melontar kepalan salji, aksi yang selama ini hanya dilihat dalam filem barat.

Suhu agak sejuk tidak dihiraukan rasa janggal antara anggota MAT Malaysia dan Filipina semakin mesra. Tidak seperti pertemuan pertama kali semalam, mereka sudah berani mengusik antara satu sama lain selain mengajak bergambar bersama.

Bagi penulis, keadaan bersalji itu sekali lagi sekurang-kurangnya mengubat kerinduan akan pengalaman melalui tiga kali musim sejuk Kanada ketika melanjutkan pelajaran di Quebec dulu.

Kira-kira setengah jam kemudian, kami dengan berat hati meneruskan perjalanan ke Moab. Pemandangan bersalji makin lama makin menghilang ketika kami semakin menghampiri bandar itu. Panorama bukit batu diliputi keputihan salji bertukar ke warna asal yang kemerahan. Di kiri kanan jalan tersergam bukit batu yang begitu menakjubkan.

Bongkahan batu bagaikan disusun dan diukir dengan teliti serta penuh kesenian. Jika tidak kerana saiznya yang besar, sudah tentu ia dikatakan hasil seni reka taman. Sebenarnya, itulah bentuk muka bumi Moab hasil "seni alam".

Moab terletak di lembah bukit batu yang gah dan serta permukaan padang pasir yang indah. Dalam lingkungan 160 kilometer dari bandar itu saja, ada empat taman negara, empat taman negeri, beberapa tugu negara, tapak sejarah negara dan pelbagai kawasan dengan pemandangan yang amat indah.

Semua ini membuktikan Moab, iaitu bandar terbesar ke tenggara Salt Lake City dengan 10,000 penduduk dan diasaskan pada tahun 1880, adalah bandar pengembaraan yang terbilang.

Jika di Malaysia, Cameron Highlands dikenali sebagai "The Land of The Land Rover, di Amerika Syarikat, Moab pula digelar sebagai "The Jeep Capital"  bandar kerana memiliki banyak laluan off-road yang unik di sekitarnya yang menjadi tumpuan pengemar aktiviti lasak itu.

Malah, kegiatan pengemar off-road dianggap tidak lengkap jika mereka tidak pernah menguji keupayaan diri masing-masing memandu kenderaan pacuan empat roda di kawasan sekitar Moab.

Selain kegiatan off-road, Moab juga menawarkan kegiatan kembara lain seperti sukan basikal dan motorsikal lasak, memanjat bukit batu, menuruni bukit dengan tali, dan berakit. Ia juga adalah satu-satunya bandar yang terletak di pinggir Sungai Colorado, iaitu laluan air yang terkenal serta mencabar bagi aktiviti berakit.

Selepas makan tengahari, anggota pasukan MAT negara dan Filipina mengambil tempat masing-masing di khemah yang didirikan di sebelah Sungai Colorado. Mereka bersiap sedia untuk mengikuti siri pengenalan program kembara yang akan bermula esok seperti memandu Jeep, APV (All Terrain Vehicle), bermotorsikal lasak, berakit dan menunggang kuda.

Penulis serta dua pegawai pengiring pasukan negara dan seorang pegawai pengiring pasukan Filipina turut diberi pendedahan memandu Jeep dan ATV sebagai persiapan untuk aktiviti kembara bersama anggota kumpulan MAT esok.

Walaupun kegiatan tersebut adalah mencabar, tunjuk ajar daripada petugas International Adventure Tours Inc yang begitu profesional dan pakar dalam bidang masing-masing menjadikan cabaran aktiviti lasak itu lebih mudah dan selamat.

Kehebatan petugas terbabit memang sudah diakui. Merekalah yang selama ini diberi kepercayaan oleh bagi Marlboro Wolrd of Sports untuk mengendalikan program kembara untuk pasukan MAT di seluruh dunia.

Kami diajar mengutamakan keselamatan dan disiplin diri, bukan bersaing sesama sendiri untuk menunjuk siapa yang lebih hebat. Seperti peringatan yang sering diucapkan petugas berkenaan: "Kita berada di sini untuk menikmati keseronokan dan perkara yang paling penting ialah keselamatan."

(END)