Peserta MAT uji keberanian lalui lembah sempit

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 14/10/2000 p.10)

SEPERTI dijangka, semua sembilan peserta Marlboro Adventure Team (MAT) negara bangun lebih awal daripada biasa pagi ini walaupun cuaca di Moab semakin sejuk. Kedinginan yang menghampiri paras beku itu tidak diendahkan kerana hari inilah (Khamis, 12 Oktober 2000) waktu yang paling dinanti-nantikan dalam hidup mereka - menawan muka bumi Moab.

Bagi acara pertama MAT Asia 2000 ini, mereka dan 11 rakan dari Filipina akan memandu kenderaan pacuan empat roda Jeep Wrangler melalui laluan off-road yang mencabar sehingga pengiring pasukan masing-masing dan penulis tidak dibenarkan mengikuti sebahagian daripada laluan itu atas sebab keselamatan.

Walaupun kecewa kerana tidak dapat menguji kemampuan diri, kami tetap berpuas hati kerana dapat mempelajari beberapa teknik pemanduan yang mendebarkan dan menyaksikan peserta MAT melaksanakannya dengan berani.

Selepas mengikuti konvoi pasukan MAT itu untuk seketika di laluan Three Hills, kami berempat - penulis serta dua pengiring skuad negara dan seorang pengiring pasukan Filipina - yang memandu dua Jeep Wrangler, mengikut petugas International Adventure Tour, Dave Lyle, ke akhir laluan iaitu lembah kecil sejauh kira-kira dua kilometer yang dilalui peserta MAT.

Dari sana, kami berlima berjalan kaki menuruni laluan untuk ke The Pickle, iaitu kawasan cerun batu hampir menegak yang tidak boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda kecuali dengan bantuan winch. Disebabkan halangan paling mencabar inilah, laluan lembah itu dinamakan dengan nama tapak itu.

Laluan lembah yang sempit itu diapit dinding batu merah yang beralun dan berlapis serta ditumbuhi tumbuhan renek yang cantik. Menurut Dave, kawasan ini pada suatu ketika dulu adalah dasar laut dan kesan beralun dan berlapis itu disebabkan hakisan arus laut. Batu merah itu juga kelihatan lembap walaupun ia sebenarnya kering dan rapuh.

Setibanya kami di The Pickle, semua peserta MAT sudah sedia untuk menarik naik kenderaan pertama mereka mengikut teknik yang diajar penyelaras aktiviti ini, Chris Brunner, yang juga seorang pakar mekanik.

Kenderaan akan ditarik naik menggunakan winch pada Jeep Wrangler yang dipandu Chris. Beliau sebelum itu menaikkan kenderaannya dengan mengikat kabel winch pada sebuah batu di sebelah atas laluan. Pada batu itu juga, kenderaan beliau dirantaikan supaya tidak tergelungsur semula ke bawah apabila menarik naik kenderaan lain.

Selepas ditarik, kenderaan itu pula akan ditolak oleh peserta untuk melepasi permukaan curam yang berpasir. Proses yang agak berbahaya ini memerlukan kecekapan pemandu serta peserta lain dan dilakukan dengan berhati-hati.

Walaupun sukar, mereka berjaya menaikkan semua 10 kenderaan tanpa sebarang kejadian buruk, kecuali aksi yang mendebarkan. Apa yang membanggakan, keupayaan peserta Malaysia ternyata lebih terserlah berbanding peserta Filipina dan mendapat pujian Chris.

Mereka sekali lagi menunjukkan kehebatan melalui laluan sempit dan dinding batu yang memungkinkan kenderaan itu terbalik. Kali ini Chris sendiri menggelengkan kepala dan menghembuskan nafas lega melihat aksi mendebarkan peserta Malaysia yang memandu secara `ganas' untuk melepasi halangan dengan hanya satu atau dua percubaan saja. Malaysia memang boleh.

Selepas semua kenderaan melepasi halangan itu, kami berehat seketika untuk makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan. Halangan terakhir tidak begitu mencabar tetapi cukup untuk mendera kenderaan masing-masing. Satu demi satu kenderaan tersangkut pada halangan itu yang menyebabkan palang keluli di depan kenderaan kemek.

Ditanya mengenai pengalaman mereka tadi, peserta negara menyatakan laluan itu tidak seteruk laluan off-road yang berlumpur di Malaysia. Bagaimanapun, mereka gembira dapat menimba pengalaman baru memandu di kawasan padang pasir dan berbatu, terutamanya ketika melalui halangan The Pickle.

Apa yang nyata, mereka kagum dengan keupayaan Jeep Wrangler melepas
halangan di laluan berbatu itu. "Kalau boleh kami nak bawa balik saja Jeep ini ke Malaysia," kata Mohd Norli Abdul Aziz yang juga anggota pasukan Kudrat yang menjuarai cabaran MAT tempatan.

Selepas itu, konvoi kami meneruskan perjalanan ke Horse Camp di La Sal Mountains, tempat peserta MAT bermalam dalam kemah sebelum meneruskan aktiviti lasak untuk hari kedua esok.

Suhu di kawasan tanah tinggi itu sungguh sejuk. Peserta negara yang ditemui pada waktu makan malam tidak henti-henti menyatakan kebimbangan mereka mengenai cuaca di situ.

Mereka jelas menggigil kesejukan terutama selepas `mandi koboi' dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat. Peserta Filipina dan petugas program hanya menyaksikan gelagat peserta negara yang dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa untuk dilakukan dalam cuaca sesejuk itu.

Esok mereka akan melalui kehidupan sebagai seorang koboi dengan menunggang kuda sepanjang hari sambil melakukan aksi lain seperti menarik batang kayu dengan kuda, mengembala lembu dan meleso.

Apakah koboi Malaysia juga hebat dan "ganas" seperti koboi Amerika? Kita tunggu saja esok sama ada koboi Malaysia mampu bertahan cuaca sejuk. Sejak Maghrib tadi, kesemua mereka sudah menggosok minyak angin panas di tubuh masing-masing dan memakai berlapis-lapis baju.
                               

(END)