Cuaca dingin bukan penghalang peserta tunjuk keberanian

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 16/10/2000 p.10)

CUACA di Moab semakin sejuk. Walaupun salji tidak kelihatan, suhu waktu malam hingga pagi amat dingin. Dalam keaadaan begini, peserta Marlboro Adventure Team (MAT) negara mula memikirkan mengapa mereka berada di tengah-tengah kawasan tandus dan sejuk ini.

Persoalan itu semakin menghantui lebih-lebih lagi apabila mereka terpaksa bermalam di kawasan terbuka dan hanya berbekal beg tidur tanpa kemudahan air panas atau air untuk mandi. Bayangkan kehidupan seperti itu.

"Itulah, dulu gatal sangat nak menang, nak datang AS. Sekarang bila dah sampai, merungut pula," kata seorang peserta. "Menang susah, kalah lagi susah," kata peserta lain. Kedua-dua mereka merujuk kemenangan dalam saingan MAT tempatan yang membawa mereka ke sini.

Bagaimanapun, kata-kata itu hanyalah gurauan untuk menghiburkan hati kerana bimbangkan keupayaan mereka menghadapi cuaca yang semakin sejuk. Semangat untuk beraksi di Moab tetap membara walaupun cuaca semakin sejuk.

Semalam (Jumaat, Oktober 13, 2000) iaitu pada hari kedua program MAT Asia 2000, peserta Malaysia terus menunjukkan kemampuan masing-masing dalam kembara sebagai seorang koboi.

Disebabkan cuaca yang terlalu sejuk acara itu dipindah ke kawasan lain yang kurang sejuk. Beberapa acara seperti mengembala lembu dan mengheret balak dengan kuda
terpaksa dibatalkan. Sebaliknya, peserta hanya berpeluang melakukan aktiviti mudah seperti menunggang kuda dan meleso.

Oleh kerana tidak terdapat lembu di kawasan baru itu, peserta sendiri terpaksa mengambil alih watak haiwan itu - mereka ditangkap dengan menggunakan tali leso. Setiap langkah yang mereka ambil akan mengundang lemparan tali leso oleh koboi berpengalaman yang mengendalikan acara itu.

Selepas itu, peserta pula berlatih untuk meleso sesama sendiri dengan tali yang diberikan koboi berkenaan. Sekurang-kurangnya ia menjadi penawar kepada mereka kerana terpaksa bergelumang dengan bau busuk kuda yang ditunggangi.

Disebabkan faktor kebersihan dan cuaca sejuk, semua peserta diberi peluang mandi air panas di tempat tinggal pegawai pengiring pasukan dan pihak media di Castle Rock Ranch.

Sejak tiba di sini Rabu lalu, peserta MAT negara tidak berpeluang untuk mandi dengan sempurna. Selama ini mereka hanya bergantung kepada Sungai Colorado yang semakin sejuk airnya untuk mandi.

Pada sebelah malam, kami semua bermalam dalam khemah tipi di Messa Camp. Cuaca di kawasan tanah tinggi itu lebih sejuk berbanding cuaca di Horse Camp. Bagi mengatasi masalah itu, kami diberikan tong sampah keluli untuk dibuat tempat membakar kayu api di dalam khemah.

Bagaimanapun, apabila angin bertiup dari arah lain, asap pembakaran kayu api tidak dapat keluar dari bukaan di atap khemah tipi dan keadaan ini melemaskan kami. Ada yang tidak tahan dan terpaksa memilih antara panas dan sejuk. Peserta negara memilih untuk tidur dengan aman walaupun kesejukan - tong itu dibawa keluar daripada khemah.

Hari ini (Oktober 14, 2000), peserta mengharungi acara paling mencabar iaitu mendaki bukit dan menurun bukit batu dengan tali di Negro Bill Canyon.

Cuaca hari ini juga lebih baik berbanding semalam dan bahang sinaran matahari dapat dirasai menjelang tengahari. Acara itu berlarutan sehingga kira-kira tujuh jam. Kesemua halangan dapat ditempuhi dengan baik oleh peserta dan mereka sekali lagi bermalam di Messa Camp yang sejuk itu.

Penulis dan pegawai pengiring pasukan bagaimanapun pula hanya dapat melihat aksi awal peserta dari jauh ketika mereka menuruni bukit pertama dengan tali. Kami terpaksa beredar untuk mengikuti program sendiri iaitu pemanduan ATV.

(END)