Moab kota acara sukan lasak

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 17/10/2000 p.10)

SELEPAS lima hari berada di sini, baru hari ini (Ahad)) peserta Marlboro Adventure Team (MAT) negara berpeluang mengunjungi pusat bandar Moab serta melihatnya dengan lebih dekat selain membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Sebelum ini, mereka sekadar melalui atau singgah seketika untuk mengisi petrol dan meneruskan perjalanan ke kem atau tempat kembara mengikut jadual yang ketat.

Itu pun mereka hanya diberi masa dua jam meninjau sekitar Moab sebelum pulang ke garaj untuk memakai pakaian perlindungan kerana mereka akan bermotosikal lasak serta ATV (all terrain vehicle) selepas itu.

Ketika peserta negara berada di pusat bandar Moab, peserta MAT Filipina pula sedang melakukan acara berkenaan sebelum pulang dan mendapat giliran untuk mengunjungi pusat bandar Moab.

"Di mana pusat bandar Moab?" Tanya seorang peserta negara, Mohd Mustafa Kamal Ismail, ketika berkumpul selepas meletak kenderaan pacuan empat roda kami.

"Di antara lampu isyarat pertama dan ketiga di jalan utama ini," kata penulis sambil menunjukkan lampu isyarat berkenaan yang berada tidak jauh.

Moab sememangnya pekan kecil. Pernah satu ketika dulu bandar yang dibuka pada tahun 1880 ditinggalkan apabila kegiatan perlombongan di kawasan berkenaan terhenti.

Kini, bandar itu menjadi tumpuan penggemar aktiviti sukan lasak. Kebetulan hari ini ada pertandingan motosikal lasak selama 24 jam, maka ramai pengunjung luar berada di bandar itu.

Sekembalinya ke gudang, peserta mula bersiap menyarung baju dan peralatan keselamatan bagi menunggang motosikal lasak dan ATV. Kemudian kami mengikuti penyelaras acara untuk ke tapak laluan off-road.

Di Moab, anda tidak akan kehabisan laluan off-road kerana bentuk muka buminya yang bergurun dan berbukit serta luas menawarkan pilihan yang hampir tiada hadnya.

Hari ini, empat peserta negara akan menunggang motosikal manakala lima lagi akan menaiki ATV. Pilihan jenis kenderaan ditentukan berdasar keupayaan dan kesesuaian peserta ketika ujian pada hari pertama mereka tiba di sini.

Penulis serta dua lagi pengiring pasukan negara iaitu Pengurus Perkhidmatan Pemasaran Godfrey Philips (M) Sdn Bhd, Ang Leong, dan Pengarah Urusan Wild-Wild East (M) Sdn Bhd, Shaharuddin Hassim, mengikut dalam dua Jeep Wrangler yang dipandu dua petugas.

Laluan digunakan hari ini sungguh mencabar sehingga peserta tidak dibenarkan menunggang sendiri di dua bahagian laluan itu manakala kami langsung tidak dibenarkan memandu atas sebab keselamatan.

Laluan yang banyak membabitkan laluan anak sungai serta melalui gaung yang dalam itu sebenarnya lebih sesuai untuk kegiatan menunggang basikal serta motosikal lasak dan ATV berbanding kenderaan pacuan empat roda lain.

Perjalanan mengikut pengembaraan pasukan MAT negara amat mendebarkan dan
penulis terpaksa berhempas pulas memastikan diri tidak tercampak keluar dari tempat duduk belakang Jeep Wrangler.

Peserta negara memang diakui handal dalam mengendalikan tunggangan masing-masing. Malah, petugas terbabit sendiri mengakui kebolehan peserta negara berbanding peserta Filipina. Kami hanya mampu merapati mereka selepas mereka berhenti untuk membolehkan petugas membawa kenderaan berkenaan melepasi halangan itu.

Pada satu halangan, dua keluarga dengan kenderaan pacuan empat roda biasa tersangkut di laluan dan tidak dapat meneruskan perjalanan. Mereka terpaksa berpatah balik selepas lebih separuh jalan melalui laluan itu.

Di sebelah kiri laluan itu adalah jurang dalam. Tidak jauh dari bahagian itu, kelihatan rangka Jeep Wrangler berwarna putih di bawah jurang. Menurut petugas kemalangan itu disebabkan kecuaian pemandu. "Itulah yang akan terjadi jika anda alpa," katanya.

Dan kealpaan juga menyebabkan kecelakaan kepada seorang peserta negara yang menunggang ATV, Mohamad Latpi Samsudin (Lat). Beliau terbabas dan melambung ke laluan anak sungai dan ditimpa ATV sendiri selepas gagal mengawal kenderaan yang dipandu laju.

Lat  cuba menghambat rakan-rakan di depan yang memandu laju. Walaupun tidak mengalami kecederaan melainkan bengkak pada pergelangan tangan, beliau jelas gementar dan terkejut selepas kejadian itu. Selepas diperiksa oleh petugas, Lat dibenarkan menghabiskan perjalanan yang hanya tinggal kira-kira 400 meter lagi.

Beliau pada mulanya tidak mahu lagi memandu kerana hilang keyakinan tetapi penulis berjaya menyuntik semula keyakinan baru untuk beliau menghabiskan pemanduan.

Dua peserta negara turut terpelanting keluar dari ATV masing-masing apabila ia terhenti mengejut apabila terlanggar batu besar. Kejadian sama turut menimpa beberapa rakan mereka dari Filipina.

Apa pun apabila ditanya perasaan mereka selepas acara itu, masing-masing menyatakan tidak puas menunggang dan mahu dibenarkan mencuba laluan
dianggap berbahaya itu.

(END)