Keberanian peserta negara dapat pujian

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 19/10/2000 p.10)

HARI dinantikan penuh debaran oleh peserta Marlboro Adventure Team (MAT) negara sudah tiba. Semalam dan hari ini (Isnin, 16 Oktober dan Selasa, 17 Oktober) adalah hari untuk peserta menawan 26 jeram Sungai Colorado di Cataract Canyon dalam acara kembara berakit.

Dada peserta negara berdebar bukan hanya memikirkan bagaimana menempuh jeram tetapi bagaimana menghadapi kedinginan air sungai yang menyucuk ke tulang, sesuatu yang tidak pernah dialami ketika berakit di Malaysia.

Kembara berakit itu, bermula dengan perjalanan menaiki `Jet Boat' iaitu bot laju penumpang diperbuat daripada aluminium, dari kem pangkalan di Potash. Bot itu membawa kami ke The Loop, kem pantai di tebing sungai yang mana peserta akan berpindah ke rakit (bot getah diisi udara).

Perjalanan dengan bot pada kelajuan 60 kilometer sejam itu mengambil masa kira-kira dua jam. Pemandangan sepanjang perjalanan tidak banyak berbeza berbanding pemandangan di tempat lain di Moab. Semua laluan diapit bukit batu dan padang pasir - ciri geografi unik Moab.

Tidak jauh dari The Loop, bot kami singgah sebentar di tebing sungai untuk menurunkan peserta yang meneruskan perjalanan menggunakan jalan darat. Peserta terpaksa mendaki hampir 40 minit untuk sampai ke destinasi itu.

Sementara menanti ketibaan peserta, jurumudi yang juga tukang masak perjalanan itu, menyediakan makan tengah hari untuk kami. Selepas makan, kami bersedia memulakan acara berakit.

Peserta MAT negara dan Filipina ditempatkan di tiga buah rakit manakala petugas, pengiring pasukan dan wartawan menaiki dua bot getah bermotor. Selama hampir tiga jam perjalanan itu, kami melalui 10 jeram sebelum bermalam di kem di kawasan pantai sungai itu.

Jeram berkenaan dikelaskan mengikut kesukaran daripada kelas satu hingga enam. Kelas satu atau tahap paling mudah menyamai aliran biasa sungai manakala kelas paling sukar atau kelas enam, keadaan bersama aliran air terjun besar seperti Niagara Falls.

Sebahagian besar jeram dilalui pada hari pertama tergolong dalam kelas tiga dan empat. Walaupun cabarannya tidak begitu hebat, ia latihan baik untuk menyesuaikan diri sebelum menempuh 16 lagi jeram, termasuk beberapa jeram kelas lima pada hari kedua.

Sementara menanti makan malam, peserta Malaysia dan Filipina bermain toi atau galah panjang di pantai. Permainan tradisional itu menarik perhatian petugas rakyat Amerika yang pelik mengenai permainan ringkas itu. Peserta juga beradu tarik tali yang semuanya kecuali sekali, dimenangi peserta Malaysia.

Selepas makan malam, kami diberi taklimat mengenai kembara esok hari serta peraturan ketika berkhemah terutamanya aspek penjagaan kebersihan kawasan pantai.

Masyarakat Amerika begitu prihatin penjagaan alam sekitar sehingga mereka yang berkhemah dilarang membuang air besar di kawasan pantai. Semua sampah atau hasil buangan mesti dibawa pulang bersama.

Kembara berakit hari ini bermula pada 8.30 pagi. Suhu persekitaran adalah sejuk walaupun tidak sesejuk ketika berkhemah di Messa Camp dulu. Bagaimanapun, suhu air jauh lebih sejuk, menjadikan acara ini sungguh mencabar peserta. Malah, kembara berakit hari ini, adalah yang terakhir bagi tahun ini kerana cuaca semakin sejuk, tidak mengizinkan ia diteruskan.

Satu demi satu jeram dilalui dengan mudah. Aliran sungai tidak begitu deras kerana isi padu air pada ketika itu tidak banyak berbanding musim bunga dan panas. Bagaimanapun pada jeram ke-25, peserta negara, Hishamudin Samsuri tercampak keluar ketika rakit pasukan negara dilambung ombak sungai.

Kejadian itu tidak membimbangkan kerana Hishamudin yang berpaut pada tepi rakit dengan mudah ditarik naik oleh rakan lain. Beliau tidak menunjukkan sebarang rasa gementar melainkan rasa sejuk akibat kedinginan air sungai.

Sebelum itu, jurumudi rakit yang dinaiki peserta Filipina juga hampir tercampak keluar apabila melalui jeram yang sama. Beliau terjatuh dalam rakit dan terhantuk dengan pendayung lain sehingga menyebabkan cermin mata hitamnya pecah.

Pada jeram terakhir, kesemua sembilan peserta Malaysia memilih untuk berlungsur dalam air iaitu terjun ke dalam air dan membiarkan diri dibawa arus sungai -  satu teknik dalam sukan berakit yang memerlukan keberanian. Hanya empat peserta Filipina menyahut cabaran itu.

Keberanian peserta Malaysia dalam program MAT di Moab sudah diketahui petugas. Walaupun agak pendiam berbanding dengan peserta dari negara lain, peserta Malaysia terkenal dengan kecekalan dan keberanian mereka. Mereka lebih banyak beraksi daripada bercakap.

Hakikat ini jelas disimpulkan dalam kata-kata seorang petugas kepada rakannya seperti berikut: "Saya berani bertaruh kesemua peserta Malaysia akan terjun ke sungai. Mereka semua adalah `gila` (berani)."

Selepas kesemua peserta menaiki semula rakit, kami singgah sebentar di sebuah pantai untuk mengemas peralatan berakit. Dua daripada tiga rakit peserta dilipat dan disimpan di atas bot bermotor yang juga membawa kami meneruskan perjalanan. Kembara hari ini juga mengambil masa kira-kira tiga jam.

Tidak berapa jauh daripada situ, kami bertemu dan berpindah ke Jet Boat yang membawa kami ke Marina Hite di Tasik Powell. Perjalanan dengan bot itu mengambil masa hampir dua jam. Dari marina kami menaiki bas untuk pulang ke Base Camp di Moab dan perjalanan itu mengambil masa empat jam.

Kegirangan peserta negara jelas terbayang di raut wajah masing-masing. Mereka gembira bukan saja kerana berjaya mengharungi cabaran Sungai Colorado tetapi juga kerana memikirkan juadah untuk makan malam. Enam ekor ayam hidup sudah disediakan untuk disembelih dan dimasak kari. Sudah lebih seminggu di sini kami tidak menjamah daging ayam.

Sejurus tiba di Base Camp, tukang masak berbangsa Jerman, Reiner Mennig, sudah sedia menanti kami untuk menyembelih ayam itu. Beliau sungguh perihatin dengan keperluan permakanan kami dan sentiasa berusaha untuk memenuhinya. Bagi dirinya, sudah menjadi satu kemestian untuk menyediakan ayam hidup sekurang-kurangnya sekali bagi pasukan Malaysia setiap kali program MAT berlangsung.

Mungkin kerana keberkatan makanan halal, hidangan nasi dan kari ayam yang disediakan Reiner mendapat sambutan sehinggakan beliau terpaksa memasak seperiuk lagi nasi. Malah, petugas berbangsa Amerika, Kanada dan Jerman yang sebelum ini tidak gemar makan nasi turut menambah nasi dan kari ayam.

Reiner sungguh gembira malam ini. Tidak pernah dalam tempoh seminggu ini hidangan yang disediakan habis dimakan. "Malam ini saja mereka makan lebih banyak daripada mereka makan dalam masa dua hari," kata beliau ketika berbincang dengan penulis mengenai menu masakan untuk esok.

Esok adalah hari terakhir program MAT Asia 2000 di Moab. Pada sebelah pagi, peserta akan menaiki jip merendah sungai dan laluan berpasir untuk ke Corona Arch. Dari kawasan meletak kereta, mereka akan mendaki sejauh tiga kilometer untuk ke puncak sebelum turun dengan tali - acara yang mesti dilakukan jika mengembara di Moab.

(END)