Peserta sedih hadapi saat perpisahan

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 23/10/2000 p.8)

SUASANA riang bercampur sedih menyelubungi semua yang terbabit dalam Program Marlboro Adventure Team (MAT) Asia 2000 di Moab yang berakhir Rabu lalu. Program ini juga adalah yang terakhir bagi tahun ini yang dikendalikan International Adventure Tours (IAT) bagi pihak Marlboro World of Sports.

Bagi sembilan peserta negara, keriangan jelas terukir di wajah mereka kerana dapat menyelesaikan cabaran selama di sini. Namun jauh di sudut hati, mereka sedih kerana pengalaman yang sedang dirasai, kini berakhir. Suasana yang sama menyelubungi pasukan Filipina dan petugas IAT.

Sebagai penutup kembara di Moab, peserta MAT dikehendaki mendaki dan menuruni dengan tali (rappelling) arca batu semula jadi. Walaupun keletihan selepas dua hari berakit di Sungai Colorado sebelum itu, peserta negara masih tetap bangun awal seperti biasa - sesuatu yang dikagumi petugas IAT selama ini. Namun keadaan ini bukan sesuatu yang menghairankan - bagi peserta negara tuntutan menunaikan solat subuh tidak pernah diabaikan.

Selepas bersarapan pagi, kami meninggalkan Base Camp dengan Jeep Wrangler masing-masing yang begitu setia selama ini menuju ke Corona Arch. Cuaca pagi ini amat baik, tidak terlalu sejuk seperti hari-hari sebelumnya. Kami hanya berpakaian biasa. Selepas peserta mengenakan peralatan untuk menuruni tali, kami memulakan perjalanan mendaki laluan berbatu sejauh lebih tiga kilometer untuk ke Corona Arch.

Selepas berehat seketika di bahagian bawah Corona Arch sepanjang 90 meter itu, petugas IAT meneruskan pendakian ke puncaknya untuk memasang dua set tali untuk digunakan peserta negara dan Filipina bagi menuruni arca setinggi 55 meter itu secara serentak. Sekali lagi atas sebab keselamatan, penulis dan pengiring kedua-dua pasukan tidak `digalakkan' melakukan penurunan itu.

Pasukan negara didahului oleh Mohd Mustapa Kamal Ismail (Mus). Mus yang juga anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat dengan mudah menuruni puncak Corona Arch. Beliau berhenti beberapa kali sambil melepaskan kedua dua belah tangannya dari tali itu untuk membuka Jalur Gemilang - sebagai tanda patriotik serta keupayaan rakyat Malaysia `menawan' Corona Arch.

"Saya bangga kerana bukan saja dapat mengharumkan nama negara, tetapi juga nama jabatan bomba," katanya sejurus melakukan penurunan itu. Selepas itu, seorang demi seorang peserta negara menuruni puncak Corona Arch dengan pelbagai gaya untuk dirakamkan oleh kami yang menjadi jurufoto sambilan selama pengembaraan ini. Akhir sekali, kesemua peserta bergambar bersama Jalur Gemilang dengan berlatar belakangkan Corona Arch yang baru `ditawan'.

Kami kemudian menuruni laluan pendakian untuk ke kenderaan. Kali ini jarak lebih tiga kilometer yang dilalui itu dirasakan begitu dekat sekali. Sebelum kembali ke Base Camp, kami singgah di satu kawasan memanjat dinding batu terkenal yang dinamakan Wall Street. Kawasan ini menjadi tumpuan pemanjat setiap masa sehingga ia mendapat jolokan nama itu yang menggambarkan kesibukan tempat itu.

Selepas itu, kami pulang ke Castle Rock Ranch untuk mandi manda sebelum berkumpul di Base Camp. Selepas siap mengemaskan beg masing-masing dan memulangkan peralatan yang dipinjamkan, kami menuju ke tapak bekas pengambaran filem koboi tidak jauh dari situ untuk majlis makan malam perpisahan.

Prop rumah ala Mexico dihiasi cantik dengan lampu dan nyalaan api untuk menimbulkan suasana malam ala Western yang menarik. Sebuah Jeep Wrangler dan ATV (all terrain vehicle) juga diletakkan sebagai identiti program kembara MAT.

Pada majlis itu setiap peserta menerima sijil penyertaan cemerlang sebagai pengiktirafan keupayaan mereka dalam mengharungi acara kembara yang diatur selama seminggu di Moab. Sijil disampaikan oleh Pengurus IAT, Ulla Mechler - seorang wanita berbangsa German yang peramah.

Daripada perbualan penulis dengan petugas IAT lain, ternyata prestasi peserta negara mengatasi rakan mereka dari Filipina dalam hampir semua acara.

Walaupun majlis itu riang dengan gelak tawa hadirin, namun sebagai majlis perpisahan, suasana muram tetap menyelubungi diri. Masing-masing bagaikan enggan berpisah walaupun sudah bersalam-salaman dan bertukar-tukar cenderahati dan alamat mel elektronik. Hanya ketibaan bas sewa khas pada jam 2.15 awal pagi Khamis itu memungkinkan perpisahan kami.

Kami meneruskan perjalanan selama empat setengah jam itu untuk ke Salt Lake City bagi mengambil penerbangan ke Los Angeles sebelum menaiki Penerbangan Malaysia (MAS) untuk ke Kuala Lumpur melalui Tokyo.

Bagaikan tidak cukup dengan kembara selama seminggu di Moab, Delta Airlines sekali lagi menguji keupayaan dan kesabaran kami. Penerbangan ke Los Angeles yang dijadualkan pada 9.55 pagi tertangguh selama hampir tiga jam kerana kerosakan radar di lapangan terbang yang serba maju serta sibuk itu.

Akibatnya sejurus kami mendarat di Los Angeles, kami terpaksa berlari dari balai ketibaan di terminal domestik ke balai berlepas di terminal antarabangsa untuk mengejar penerbangan MH93 yang akan berlepas dalam masa 30 minit.

Kami berjaya menaiki pesawat MAS itu sejurus sebelum pintunya ditutup. Terima kasih buat kapten dan anak kapal MH93, terutamanya Nurul. Seandainya terlewat, kami terpaksa berkampung selama dua hari di lapangan terbang itu sebelum dapat pulang ke Malaysia dengan pesawat MAS. Namun bagasi kami tidak sempat untuk dipindahkan ke pesawat MAS yang kami naiki.

Delta Airlines awal-awal lagi sudah melepaskan tanggungjawabnya menyediakan tempat penginapan sementara untuk kami sekiranya kami tidak sempat menyambung penerbangan. Sebaliknya ia cuba melepaskan tanggungjawab itu kepada MAS yang tentunya tidak bersalah dalam hal ini.

Akhirnya kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Sabtu selepas memulakan kembara dari tempat yang sama pada pagi 9 Oktober lalu. Kini kembara kami diteruskan oleh bagasi kami yang mengikut kata petugas MAS lewat petang ini masih belum dapat dikesan di mana letaknya. Selamat kembara wahai bagasi, kembalilah dengan selamat.

(END)