Kepemimpinan Pas semakin `syok sendiri'

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 13/06/2001 p.23)

KESIMPULAN yang boleh dibuat daripada Muktamar Agung ke-47 Pas di Kuala Lumpur, baru-baru ini, ialah parti pembangkang itu semakin `syok sendiri' untuk menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya 2004 hingga tidak lagi berpijak di bumi nyata.

Pas ternyata terlalu ghairah untuk berkuasa sehingga terlupa atau sengaja melupakan bukan saja realiti politik negara, malah agenda perjuangan sendiri yang diwar-warkan kepada penyokong setianya selama ini serta permasalahan dalaman yang kian membelitnya.

Dalam keghairahan itu, Pas tidak segan silu lagi menunjukkan keangkuhannya dengan meluluskan resolusi bahawa parti itu akan menjadi parti tonggak dalam pakatan pembangkang. Ini berdasarkan kepercayaan bahawa mereka mampu menang besar dan seterusnya membentuk serta menerajui kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Pas mahu menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang seperti mana Umno dalam Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, hakikatnya parti itu tidak mempunyai ciri-ciri yang diperlukan sebagaimana yang dimiliki Umno untuk menjadi parti dominan.

Malah, pakatan longgar pembangkang itu juga tidak sama dengan BN yang memperakui bahawa Umno adalah dominan berdasarkan apa yang dikenali sebagai formula Malaysia.

Dalam pilihan raya di Malaysia, hakikatnya tiada satu parti kecuali Umno yang mampu memenangi cukup kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Tetapi Umno memilih untuk berkongsi kuasa dengan rakan lain dalam BN kerana menyedari realiti politik negara majmuk seperti Malaysia.

Untuk menang besar, Pas memerlukan kerjasama rakannya iaitu DAP, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Menerusi kerjasamanya dengan DAP, Pas mengharapkan sokongan orang bukan Melayu. Tetapi pakatan pembangkang itu longgar dan rakan lain juga tidak memperakui dominasi Pas.

Ini terbukti apabila Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock, menyatakan parti itu tidak akan membenarkan Pas mendominasi serta menentukan arah dan dasar perjuangan pakatan pembangkang kerana masing-masing bersetuju mengenai kesaksamaan di kalangan mereka.

Kerk berkata, Pas hanya dominan dalam konteks jumlah bilangan ahli serta kerusi Parlimen yang diperolehi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Pas perlu sedar daripada lamunan bahawa ia tidak mempunyai kekuatan dan pengaruh yang cukup untuk membentuk dan seterusnya menerajui kerajaan selepas pilihan raya umum pada 2004.

Orang Melayu tidak akan meninggalkan Umno untuk memberi sokongan 100 peratus kepada Pas. Begitu juga golongan pengundi muda, tidak semua yang akan memilih Pas atau parti pembangkang lain hanya kerana mereka kini lebih kritikal terhadap kerajaan BN.

Pas ternyata hanya syok sendiri dengan sokongan agak luar biasa yang diterima berikutan permasalahan dalam Umno selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disusuli dengan wujudnya satu lagi pakatan longgar parti pembangkang yang kini dikenali sebagai Barisan Alternatif selepas percubaan meniru BN menerusi Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat menemui kegagalan.

Barisan Alternatif yang dicanang sebagai pakatan parti pilihan untuk membentuk kerajaan juga masih terumbang ambing tanpa dasar perjuangan yang jelas. Malah, pakatan yang disertai hanya empat parti pembangkang itu juga tidak memenuhi syarat untuk didaftarkan sebagai pakatan yang sah di sisi undang-undang.

Melihat ke dalam, Pas sendiri terus menghadapi masalah khususnya persoalan pokok iaitu kepemimpinan. Siapakah yang harus menerajui Pas, golongan ulama atau profesional?

Pas sedar bahawa untuk mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat bagi memerintah negara, imej konservatif parti itu perlu diubah dengan membawa masuk golongan profesional.

Tetapi pada masa yang sama tindakan itu menghimpit golongan ulama atau konservatif dalam parti yang menjadi kekuatannya selama ini sehingga mereka dikatakan memberi `peringatan' kepada Presiden parti pada muktamar tahun lalu.

Dalam ucapan dasarnya kali ini, Datuk Fadzil Mohd Noor, terpaksa sekali lagi melegakan kumpulan ini dengan menegaskan dasar kepemimpinan ulama akan terus diperkasakan.

Bagaimanapun, mungkin bagi menjaga hati golongan profesional, beliau berkata, kepemimpinan ulama Pas perlu membuktikan keupayaan mereka menghadapi permasalahan umat dan negara dengan menginstitusikan pembudayaan ilmu supaya permasalahan itu ditangani bersandarkan ilmu dan penyelidikan.

Ada perwakilan yang cuba meredakan persoalan itu dengan usaha memadam garis pemisahan antara kedua-dua golongan berkenaan. Mereka berkata, persoalan pertembungan antara golongan ulama dan profesional tidak seharusnya timbul kerana menurut logik mereka, golongan ulama adalah profesional, iaitu pakar dalam bidang agama.

Bagaimanapun, pendapat itu tidak disenangi Fadzil dan beliau dalam penggulungan perbahasan meminta semua ahli parti supaya tidak membeza-bezakan kedua-dua golongan itu. Sebaliknya, Fadzil menyifatkan kedua-dua golongan itu sebagai saling melengkapi dan memerlukan untuk memantapkan jemaah parti.

Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, yang banyak bergantung kepada golongan profesional untuk mentadbir Terengganu yang ditawan Pas buat pertama kalinya pada pilihan raya lalu, juga terpaksa bersuara untuk meredakan keadaan. Beliau dengan terus terang meminta ahli parti supaya tidak mempunyai perasaan dengki terhadap golongan profesional yang mendapat tempat dalam parti.

Pemilihan ahli Jawatankuasa Pas Pusat kali ini jelas menunjukkan golongan profesional semakin bertapak kukuh apabila perwakilan mengetengahkan beberapa lagi kalangan mereka dengan mengetepikan mereka yang bergelar `ustaz'. Kalangan profesional termasuk doktor perubatan, peguam serta tokoh korporat menjadi pilihan, termasuk Dr Mohamad Hatta Ramli, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Wan Mutalib Embong.

Keadaan ini turut berlaku pada peringkat kepemimpinan lebih tinggi. Datuk Dr Hassan Ali yang digolongkan sebagai profesional, dipilih mengisi kerusi tambahan jawatan Naib Presiden bersama dua lagi penyandang jawatan, Mustafa Ali dan Senator Hassan Shukri.

Apa yang nyata persoalan mengenai pertembungan antara golongan ulama dan profesional semakin hebat dan mungkin membawa akibat yang tidak diingini Pas jika dibiarkan berlarutan dalam konteks semasa. Namun kepemimpinan Pas masih mampu melayani impian memenangi pilihan raya umum akan datang biarpun rumah tangga sendiri semakin bergolak.

Fenomena syok sendiri ini bukan dibangkit pihak luar atau yang menjadi seteru nyata Pas, malah beberapa perwakilan muktamar sendiri yang sedar akan realiti politik semasa serta mungkin tidak turut tertidur dan dilamun mimpi yang sama seperti kepemimpinan parti.

Paling lantang di kalangan mereka ialah wakil Pas Wilayah Persekutuan, Mansor Din, yang membidas kepemimpinan parti, terutama saf ulamanya, kerana sekadar syok sendiri bersama rakan pembangkang lain untuk menang pilihan raya umum akan datang. Daripada kaca mata Mansor serta mungkin juga pandangan sebilangan besar ahli Pas yang sedar, kepemimpinan parti sudah lupa akan agenda perjuangan sendiri.

Mansor mempersoalkan mengapa kepemimpinan Pas kini hanya memberi tumpuan
kepada isu semasa seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Anwar bersama parti pembangkang lain, tetapi melupakan isu parti seperti kes Memali, sedangkan Pas kini dalam kedudukan terbaik melakukannya selepas Fadzil sendiri menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Mansor turut membidas kepemimpinan ulama Pas kerana gagal mentarbiah rakan mereka dalam pakatan pembangkang mengenai penubuhan negara Islam yang diperjuangkan Pas sehingga tiada pemimpin parti lain yang memahami atau menyokong agenda itu.

Kekecewaan Mansor terhadap sikap kepemimpinan Pas tidak dapat lagi dibendung apabila beliau mengungkapkan bahawa keadaan itu sebagai `satu kerja gila' dan menyarankan supaya mereka melakukan muhasabah diri.

Wakil Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub, turut meminta pemimpin dan ahli parti supaya tidak mengamalkan budaya syok sendiri itu, sebaliknya menilai semula arah perjuangan masing-masing dan berusaha memantapkan kekuatan parti.

Beberapa perwakilan lain termasuk wakil Pahang, Raja Ismail Raja Shahadan, turut meminta kepemimpinan parti supaya segera mentarbiahkan ahli parti kerana budaya negatif seperti sikap suka meminta-minta projek, hidup bermewah-mewah serta penyebaran surat layang sudah menular dalam Pas.

Namun segala kritikan yang dibangkitkan perwakilan pada muktamar kali ini seolah-olah tidak diendahkan apabila Fadzil, ketika menggulung perbahasan, bertindak membidas perwakilan yang disifatkannya gagal mengemukakan hujah bernas sehingga merapu kerana kekurangan modal ketika perbahasan.

"Ada perwakilan hendak berenang (terus berbahas) juga walaupun tidak ada modal. Ini menyebabkan mereka merapu," katanya sambil menambah perwakilan sepatutnya memperluaskan skop perbincangan dengan membanyakkan maklumat untuk dibahaskan secara tepat bukan sekadar soal tarbiah dan muhasabah.

Begitu juga dengan soal pemilihan kepemimpinan yang dibangkitkan seorang perwakilan yang mengatakan sudah jelek dengan keadaan seperti zaman
kepemimpinan Datuk Asri Muda apabila singkatan nama parti dimomok sebagai `Parti Asri Sekeluarga' kerana wujudnya unsur nepotisme.

Perwakilan pada muktamar kali ini, sebaliknya, memilih isteri Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib iaitu Fatimah @ Zainab Ibrahim, sebagai Ketua Dewan Muslimat Pas yang baru.

Mungkin keputusan itu adalah secara kebetulan tetapi dengan sikap Pas yang mengkritik apa saja yang boleh dikaitkan sebagai unsur nepotisme dalam Umno, adalah wajar parti pembangkang itu mencermin diri atau melakukan muhasabah diri seperti yang disaran beberapa perwakilan muktamar kali ini.

Pas juga seharusnya ikhlas dalam pendiriannya terhadap kaum wanita atau Muslimat. Apakah mereka yang mencakupi separuh daripada ahli Pas dan juga pengundi benar-benar diberi perhatian dan hak sewajarnya, termasuk untuk menjadi calon pilihan raya? Atau Pas sekadar bersandiwara semata-mata untuk memancing undi mereka serta melegakan hati Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail?

Sesungguhnya tindakan Pas membenarkan tiga pemimpin Muslimatnya berada di pentas bersama saf pemimpin lelaki pada muktamar kali ini mengundang reaksi baik daripada Wan Azizah yang menyifatkan perkara itu sebagai anjakan paradigma dalam Pas.

Tetapi bagaimana dengan sikap pemimpin dan perwakilan Pas ketika perbahasan yang terus memperkecilkan fungsi dan kewibawaan Muslimatnya? Juga bagaimana dengan tiga kerusi di atas pentas saf kepemimpinan yang kosong sepanjang perbahasan?

Itulah muktamar tahunan Pas, lebih berbentuk pesta daripada persidangan parti politik yang serius yang membicarakan soal negara. Ahli biasa atau pemerhati yang bangga memakai pas pemerhati yang dibeli sendiri pada harga RM5, lebih asyik bersembang ketika Presiden mereka menyampaikan ucapan dasar selama hampir dua jam atau ketika perwakilan berbahas. Ramai lagi yang memilih untuk menjamu selera atau menonton video yang memomokkan Umno di gerai sekitar Markas Tarbiyah.

Mereka seperti juga kepemimpinan Pas ternyata syok sendiri dengan impian mengalahkan Umno dalam pilihan raya sehingga melupakan realiti sebenar serta akibatnya kepada bangsa Melayu dan umat Islam. Bagi mereka, kemenangan semakin hampir, biar apa pun yang dikatakan pihak lain, Pas tetap yakin akan menang dan dapat memerintah Malaysia.

Mungkin wajar bagi mereka menghayati maksud satu karikatur mengenai pakatan pembangkang yang tersebar ketika pilihan raya lalu yang menggambarkan pemimpin Pas menaiki roket (lambang DAP) menuju ke bulan (lambang Pas) sambil memegang bendera Keadilan dan PRM - berpijaklah di bumi nyata. WHB