Perwakilan, calon perlu penuhi harapan bangsa

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 26/04/2000 p.4)

DI LOBI Parlimen, Isnin minggu lalu, Pemangku Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein mengulangi pendirian pergerakan itu berhubung salah laku calon yang akan bertanding pada pemilihan parti bulan depan.

Katanya, jawatankuasa khas yang dibentuk bagi memantau tingkah laku calon yang berhasrat merebut jawatan Exco Pemuda akan terus memantau calon dan tidak akan teragak-agak bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan.

Beliau juga meminta perwakilan menolak pemimpin yang tidak layak, terutama yang mengamalkan politik wang, supaya barisan baru pemimpin Pemuda mantap dan mampu meneruskan perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara.

"Saya harap perwakilan akan menggunakan peluang terbaik ini sebaik-baiknya bagi memilih pemimpin yang benar-benar layak," katanya. Ditanya apakah kenyataan itu menunjukkan ada calon tidak layak, Hishammuddin menjelaskan ia cuma ingatan yang perlu diulangi dari semasa ke semasa supaya calon tidak lupa batasan pertandingan.

Beliau juga pantas menyatakan jawatankuasa khas itu belum menerima apa-apa aduan berhubung salah laku calon, seolah-olah tidak mahu pemberita mengesyaki sesuatu.

Kenyataan Hishammuddin itu tidak mendapat tempat di dada akhbar pada keesokan harinya. Maka di kalangan ahli Pemuda juga tidak berbangkit  persoalan berhubung kenyataan bakal ketua mereka itu yang dibuat sebelum beliau menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Namun keadaan itu berubah selepas mesyuarat Exco Pemuda empat hari kemudian apabila Hishammuddin mengumumkan dua calon akan dipanggil Jawatankuasa Disiplin Umno bagi menjawab dakwaan salah laku.

Kalangan ahli Pemuda mula tertanya-tanya siapakah dua calon itu. Kali ini maklumat itu dikawal begitu rapi hinggakan Ketua Pemuda Bahagian di sekitar ibu negara juga tidak mengetahuinya. Tetapi tidak sukar bagi mereka menduga aduan salah laku itu adalah berkaitan politik wang.

"Kepala tengah tak betul ini, nak kena pergi menghadap di atas," kata Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, dengan wajah yang gusar ketika ditemui pagi Jumaat lalu di pejabat Pemuda Umno di Tingkat 37, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Abdul Aziz memang sepatutnya berasa sedemikian kerana beliau adalah salah seorang yang dipanggil Jawatankuasa Teknikal Umno untuk menjawab dakwaan salah laku. Beliau didakwa menggunakan orang tengah untuk menyogok Pemuda Umno Bahagian Seremban bagi mendapat pencalonan jawatan Naib Ketua Pemuda.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin Pemuda Umno, beliau tahu bukan mudah untuk menyangkal sesuatu dakwaan. Apalagi bila memikirkan kemungkinan beliau digugurkan daripada pertandingan jika didapati bersalah.

"Mereka memanggil saya memberi penjelasan berhubung dakwaan itu dan saya menafikannya. Saya tidak perlu melakukannya kerana saya sudah layak untuk bertanding," katanya dengan wajah yang ceria sejurus keluar daripada bilik mesyuarat Jawatan Kuasa Teknikal Umno di Tingkat 38 menara yang sama.

"Ini adalah cubaan untuk memenangi pertandingan secara percuma, untuk membatalkan kelayakan saya atas sebab teknikal," katanya jelas ditujukan kepada pencabarnya bagi jawatan Naib Ketua Pemuda, Zein Isma Ismail.

Zein yang dihubungi selepas itu terus menafikan pembabitannya dan menyatakan yang beliau tidak tahu menahu mengenai aduan itu. Tetapi beliau pantas mengembalikan `bola' ke gelanggang Abdul Aziz dengan berkata: 

"Syukurlah Abdul Aziz menafikan tuduhan itu, tetapi manusia bertanggungjawab di atas perbuatannya dan perlu menjawab kepada Allah. Siapa makan cili, dia yang rasa pedasnya."

Perang mulut antara dua calon yang merebut jawatan yang sama bukan sesuatu yang ganjil tetapi sudah menjadi adat pertandingan. Tetapi yang penting adab bertanding perlu dipatuhi.

Perbuatan mencemar nama baik calon lain atau menabur wang untuk mendapatkan sokongan bukan saja perlu ditentang tetapi juga tidak harus dibiarkan menular menjadi budaya.

Pengakuan ikhlas Hishammuddin sehari kemudian bahawa politik wang bukan masalah baru dan ia berlaku kerana calon terikut-ikut dengan sentimen pemilihan serta jaminan beliau untuk terus menangani masalah itu amat dialu-alukan.

Sekurang-kurangnya bakal ketua Pemuda itu menyedari masalah yang dihadapi pergerakan itu. Diharapkan usaha beliau untuk bersemuka dengan perwakilan dan calon bagi mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab dan adab pertandingan dapat menyekat penularan politik wang dalam pergerakan itu.

Sesungguhnya Umno tidak memerlukan bakal pemimpin yang korup yang tentunya akan melemahkan parti. Orang Melayu mahukan Umno yang bersih dan kuat untuk terus memperjuangkan agenda bangsa.

Kini terpulang kepada calon dan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno bulan depan untuk memenuhi harapan bangsa mereka. WHB