Belajar tajwid melalui kod warna

Oleh Wan Hazmir Bakar (Berita Harian 07/09/1998 ms 23)

KUALA LUMPUR: Al-Izhar, al-Idgham, al-Iqlab dan al-Ikhfa' adalah antara
hukum tajwid yang perlu dipelajari bagi membolehkan pembacaan al-Quran
dilakukan dengan sempurna seperti yang dituntut.
Malangnya, tidak ramai yang arif dalam hukum ini sehingga menyebabkan
ada yang mengambil jalan mudah dengan tidak membaca al-Quran kerana
khuatir melakukan kesilapan.
Masalah utama ialah kesukaran mengenal pasti hukum tajwid dalam setiap
baris ayat suci dalam naskah al-Quran yang digunakan sekarang walaupun
Rasam Uthmani adalah lengkap dan mudah difahami berbanding catatan awal
al-Quran.
Kini, mengenali hukum tajwid bukan lagi perkara yang sukar dengan
terhasilnya Quran bertajwid pertama hasil usaha warga Syria, Subhi Taha,
yang menubuhkan Dar Al-Ma'arifah khusus untuk tujuan ini.
Subhi menganggap hasil usahanya yang memakan masa hampir tujuh tahun
adalah ilham yang dikurniakan oleh Allah, sebagai ciptaan besar yang pasti
akan berlaku.
Beliau yang ditemui ketika berkunjung ke Malaysia baru-baru ini, berkata
al-Quran bertajwid ini adalah satu pembaharuan yang unik sejak ayat suci
itu mula dicatatkan dan dijilid sejak 1,400 tahun lalu
Menurutnya, ilham mencipta kaedah mudah mengenali hukum tajwid timbul
apabila beliau dan beberapa rakan lagi mengikuti kelas tajwid di Masjid
Kuwait di Syria tujuh tahun lalu.
Mengimbau kembali peristiwa itu, beliau berkata ketika mula-mula
mengikuti kelas itu, rakan yang duduk di sebelahnya diminta oleh imam
membaca al-Quran, dan setiap kali rakannya itu melakukan kesalahan, imam
akan mengetuk tangan rakannya tadi sebagai isyarat.
"Maka saya pun terfikir, bagaimana seseorang yang tidak arif dalam hukum
tajwid boleh mengetahui kesalahannya selain daripada kaedah guru mengetuk
tangan murid. Bagaimana pula jika pembaca keseorangan tanpa diselia oleh
guru," katanya.
Justeru, beliau mendapati kaedah terbaik ialah dengan pembaca al-Quran
dapat melihat sendiri hukum tajwid dengan memasukkan `tanda-tanda' di
setiap ayat surah. Bagaimanapun, `tanda-tanda' itu tidak seharusnya
memberatkan lagi titik, baris dan tanda sedia ada mengikut Rasam Uthmani.
Sebagai seorang jurutera serta peminati seni muzik, dua bidang yang
memerlukan pemahaman membaca nota teknikal dan muzik, Subhi mendapati kod
dalam bentuk warna adalah paling sesuai kerana ia mudah difahami serta
tidak memerlukan penambahan tanda-tanda.
"Seperti ketika memandu di jalan raya, pemandu akan mematuhi lampu
isyarat, mereka tahu warna merah menandakan berhenti dengan hanya melihat
sekali imbas tanpa perlu befikir atau mengingati peraturannya," katanya.
Menurutnya, dengan mengurangkan bebanan memikirkan hukum tajwid pembaca
boleh mendalami maksud setiap ayat, sekali gus mendapat faedah daripada
kitab suci yang diturunkan sebagai pedoman kepada umat akhir zaman.
Dalam al-Quran bertajwid ini (naskah terkini), Subhi menggunakan lapan warna bagi
menandakan hukum tajwid. Untuk bacaan mad, warna berasaskan merah dari
gelap ke terang iaitu merah tua memerlukan sebutan enam harakat, merah muda
lima harakat), jingga (dua, empat atau enam harakat), dan perang (dua harakat).
Warna hijau pula menunjukkan bacaan dengung untuk idgham, ikhfa' dan iqlab,
warna biru muda pula untuk qalqalah dan biru tua untuk bacaan tebal manakala
warna kelabu untuk bacaan yang tidak disebutkan.
Dengan memahami kod warna ini, pembaca sudah mematuhi 28 peraturan tajwid.
(Nota: Naskah awal menggunakan enam warna bagi menunjukkan 24 hukum tajwid)
Subhi berkata, selain naskah biasa, al-Quran bertajwid juga dihasilkan
dalam bentuk CD-ROM dan pita video pembelajaran sesuai dengan perkembangan
teknologi maklumat.
Katanya, kelebihan al-Quran bertajwid versi CD-ROM berbanding naskah
jilid termasuk mod mendengar bacaan, belajar membaca, menghafal ayat dan
terjemahan.
Menurutnya, pada masa hadapan terjemahan ayat yang kini hanya dalam
bahasa Inggeris boleh didapati dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa
Melayu.
Versi pita video pula mengandungi 300 episod dengan setiap siri selama
25 minit mengajar penonton membaca dua halaman al-Quran dengan hukum
tajwid yang sempurna.
Subhi berkata, al-Quran bertajwid yang dihasilkan membolehkan pembacaan
mengikut tajwid yang betul walaupun pembaca tidak begitu arif dengan
hukumnya.
Bagaimanapun, Subhi menegaskan setiap umat Islam perlu menuntut ilmu
tajwid daripada guru selaras dengan tuntutan agama dan tertib membaca al-
Quran.
Sebanyak 500,000 naskah al-Quran bertajwid sudah dipasarkan di seluruh
dunia manakala siaran pembelajaran melalui video disiarkan di televisyen
beberapa negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Jordan,
Emiriah Arab Bersatu dan Sudan.
Di Malaysia, al-Quran bertajwid dipasarkan oleh Darulfikir, ejen tunggal
yang dilantik Dar Al-Maa'rifah untuk seluruh Asia Tenggara termasuk
Australia dan India.
Pengarah Urusannya, Mohd Zaki Ahmad, berkata sebanyak 20,000 naskah al-
Quran bertajwid sudah dipasarkan di Malaysia sejak awal tahun lalu. Harga
untuk versi cetakan ialah RM130, pita video (RM250) dan CD-ROM (RM350).
Katanya, al-Quran bertajwid ini sudah diiktiraf Pusat Islam selepas
hampir setahun dikaji oleh Lajnah Quran.
Darulfikir yang berpejabat di 329B, Jalan Abdul Rahman Idris, Off Jalan
Raja Muda, Kuala Lumpur, sedang dalam proses menyediakan naskah dengan
penerangan dan CD-ROM dengan terjemahan dalam bahasa Melayu.
Menurutnya, TV3 juga menunjukkan minat menyiarkan program pembelajaran
300 episod dan sudah menghantar pegawainya ke Syria untuk perbincangan
lanjut dengan Dar Al-Ma'arifah.
Pembaca yang berminat mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi
Darulfikir melalui talian 03-26981636 atau 03-26913892.